Wednesday, February 21, 2007

Karl Marx,kapitalis dan penindasan(renew)

Sistem Kapitalis Yang Menindas

Pengenalan
Kita kini sedang menghayati sebuah dunia di mana kekayaan sedang diciptakan pada kadar yang tidak dapat dibayangkan oleh generasi-generasi terdahulu. Kejayaan-kejayaan teknologi, seperti kejuruteraan genetik dan dunia Internet, sedang berkembang dengan pesat. Menurut penyokong kapitalisme di merata dunia, sistem inilah membolehkan manusia mencapai tahap ketamadunan yang tinggi, lantas menjadikan sistem kapitalis sebagai sebuah sistem yang sempurna dan tidak dapat diubah.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa buat pertama kali dalam sejarah manusia, kita mempunyai kekayaan yang mencukupi untuk memuaskan setiap insan di dunia. Namun, hal yang tidak diperkatakan oleh penyokong-penyokong kapitalisme adalah berjuta-juta orang masih mengalami kebuluran, penyakit berjangkit, dan kehidupan yang dikecewakan oleh kemiskinan. Masyarakat kita, iaitu masyarakat kapitalis , dikuasai oleh ketidaksamarataan dan ketidakadilan, sambil kehidupan kita diancam oleh krisis ekonomi dan konflik bersenjata.
Bukankah sistem kapitalis sebuah sistem di mana beberapa individu yang kaya memiliki klang-kilang, pejabat-pejabat, dan perusahaan-perusahaan yang lain?. Maka penulisan esei ini adalah berkaitan dengan percanggahan yang terdapat dalam sistem kapitalisme dan yang jelas adalah bahawa para pekerja dan golongan bawahan akan terus dieksploitasi dan ditindas di bawah sistem kapitalis ini.


Sistem Kapitalisme; Konsep dan Ciri-Cirinya
Sistem kapitalisme ialah satu sistem yang bertunjangkan ideologi liberalisasi yang mementingkan individualisme dan juga satu konsep yang menekankan keuntungan dalam perniagaan, yakni campur tangan kerajaan telah diminimakan. Kapitalisme juga menekankan prinsip ‘free-trade’ (perdagangan bebas) ataupun ‘laissez-faire’.
Sistem ini muncul pada penghujung zaman pertengahan dan zaman moden Eropah iaitu pada abad ke-17. Di mana golongan feudal di Eropah serta golongan aristokrat telah manjadi kaya raya dan berpengaruh akibat daripada dasar merkantilisme. Hal ini telah menjadikan penentangan bagi golongan pertengahan (middle class) yeng menginginkan kebebasan dan meminimakan kawalan kerajaan dalam ekonomi.
Bagi Adam Smith, dalam bukunya “The Wealth of Nation”, menyatakan, wujudnya satu mekanisme semula jadi yang beliau namakan “The invisble hands” yang mengerakkan ekonomi. Mekanisme yang dimaksudkan ini ialah pasaran itu sendiri sama ada ditentukan oleh permintaan dan penawaran, dan kerajaan tidak terlibat dalam proses perdagangan. Bagaimanapun, teori Adam Smith ini telah dibantah oleh seorang pakar ekonomi, iaitu John Keynes yang telah menulis sebuah buku “Keynesian Theory of Economic”, menyatakan bahawa peranan kerajaan tidak boleh diabaikan, kerana ia akan melahirkan satu masyarakat yang tidak mempunyai tanggung jawab sosial dan melahirkan individu yang mementingkan diri. Hal ini kerana, peranan kerajaan adalah penting dalam mewujudkan satu kehidupan sosial yang baik.
Keynes juga menyatakan bahawa kapitalisme bukanlah satu sistem ekonomi yang kukuh kerana ia tidak mempunyai satu tiang yang kuat(kerajaan) dan boleh menyebabkan persaingan yang akan meletuskan peperangan. Bagi beliau, Perang Dunia Pertama adalah berpunca daripada teori merkantilisme, kapitalisme, dan liberalisasi yang meletuskan persaingan untuk mendapatkan sumber ekonomi.
Karl Marx, seorang tokoh sosialis juga secara terang-terangan mengutuk sistem kapitalisme yang telah menyebabkan perbezaan jurang ekonomi yang besar diantara golongan kaya dengan golongan miskin. Marx, telah menulis beberapa buku semasa hayatnya sebagai luahan, penentangan, dan kesedaran sosial beliau dalam memerangi kapitalisme; antara buku tulisannya Das Kapital, Communist Manifesto, dan Manuskrip-Manuskrip Ekonomi dan Falsafah Tahun 1844. Melalui pendapat tokoh-tokoh dunia ini, jelas menampakkan kapitalisme adalah satu sistem yang menindas golongan lemah, terutamanya golongan pekerja dan miskin.



Kelas Pekerja Yang Tertindas
Bentuk pengeksplotasian adalah secara sendirinya bergantung kepada pengagihan cara-cara pengeluaran. Dalam kes perhambaan, pekerja adalah alat pengeluaran, harta kepada tuan dalam cara yang sama seperti tanah yang diusahakan oleh hamba. Ia kelihatan seolah-olah seluruh usaha hamba adalah usaha lebihan, kerana mereka tidak berhak menikmati hasilnya. Manakala dalam kes feudalisme, dalam sebelah tangan petani mungkin memiliki beberapa cara pengeluaran – alat-alat dan binatang – tetapi tidak memiliki tanah yang mereka usahakan.
Maka, mereka terpaksa membahagikan masanya diantara tenaga pekerja yang diperlukan, untuk dirinya dan keluarga, dan tenaga pekerja lebihan, apabila petani bekerja untuk tuan tanah. Dalam kedua-dua cara pengeluaran ini, pengeksploitasian adalah agak jelas dan bergantung kepada kuasa fizikal pemilik ke atas pengeluar-pengeluar secara langsung. Pemilik hamba boleh melakukan apa sahaja kepada seorang hamba sama ada menyeksa atau membunuh hamba yang malas bekerja. Tuan-tuan tanah pula memiliki kuasa ketenteraan, dalam bentuk askar-askar bersenjata. Kuasa pemilik tanah untuk memerah tenaga pekerja adalah bergantung kepada monopolinya ke atas kuasa.
Namun di bawah kapitalisme, pekerja adalah bebas dari segi undang-undang. Ia tidak terikat dengan pihak kapitalis dalam cara hamba diikat kepada pemiliknya atau cara petani diikat kepada tuan tanah. Pengeksploitasian bukannya bergantung kepada penaklukan fizikal pengeluar secara langsung kepada pemilik harta, tetapi ada tekanan ekonomi dan yang penting sekali pekerja tidak memiliki cara-cara pengeluaran. Karl Marx menyatakan bahawa pekerja adalah bebas dalam dua segi, bebas dari hubungan-hubungan pelangganan, ikatan dan penghambaan lama dan yang kedua bebas dari segala harta dan pemilikan.
Hubungan-hubungan pengeluaran dalam masyarakat kelas, bukanlah hubungan diantara individu dengan individu tetapi diantara pekerja dan kapitalis, diantara petani dengan tuan tanah. Bagi Karl Marx, hubungan-hubungan kelas yang didasarkan pada pengeksploitasian ini adalah kunci untuk memahami masyarakat. Dalam karya Marx, ‘Communist Manifesto’ beliau menerangkan percanggahan yang berlaku antara golongan proletariat dan ‘bourgoise’ yang akan menghasilkan revolusioner sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.
Percanggahan ini akan berakhir apabila berlakunya peryusunan semula masyarakat revolusioner ataupun dalam kehancuran bersama kelas-kelas yang saling bertempuran, masyarakat bourgoise moden yang telah bertunas dari kebinasaan masyarakat feudal belum membasmikan penentangan-penentangan kelas. Ia hanya telah mendirikan kelas-kelas baru, keadaan penindasan baru, bentuk perjuangan baru yang menggantikan bentuk-bentuk lama. Oleh itu, revolusi perjuangan kelas perlu ditegakkan agar hak inidividu dipandang samarata dibawah kesaksamaan, revolusi ini perlu dilakukan untuk menjatuhkan golongan yang menindas dengan apa cara hatta peperangan sekalipun.


Nilai Lebihan Sebagai Pengeksploitasian
Menurut Marx, cara pengeluaran kapitalisme melibatkan dua pemisahan besar. Iaitu pemisahan unit-unit pengeluaran. Dalam erti kata lain, ekonomi kapitalis adalah sistem yang dipisahkan menjadi pengeluar-pengeluar yang asing, bebas, dan bersaing sesama sendiri. Namun sepenting dengan itu adalah pemisahan diantara setiap unit pengeluaran, diantara kapitalis dan tenaga pekerja bergaji. Kadar nilai lebihan adalah nama yang diberikan oleh Marx memberikan kepada nisbah di antara nilai lebihan dan kapital berubah, iaitu kapital yang dilaburkan dalam kuasa tenaga pekerja. Ini mengukur kadar pengekploitasian, dalam erti kata lain, tahap sehingga mana pihak kapitalis berjaya memerah nilai lebihan daripada pekerja
Terdapat dua cara, Marx memperdebatkannya iaitu melalui mana pihak kapitalis dapat meningkatkan kadar nilai lebihan. Pertama adalah serupa bagi kesemua cara pengeluaran dan yang kedua ialah khusus kepada kapitalisme. Ini merupakan nilai lebih mutlak dan relatif. Nilai lebih mutlak diciptakan dengan memanjangkan hari bekerja. Pihak kapitalis telah berusaha untuk melanjutkan hari bekerja, lalu memaksa kanak-kanak berumur sembilan tahun untuk bekerja tiga syif selama 12 jam di lombong-lombong besi. Maka Marx menyatakan golongan kapitalis;

adalah tenaga pekerja mati yang, seperti pontianak, hidup hanya dengan menghisap tenaga pekerja hidup,dan semakin ia hidup, semakin ia menghisap, kedaan ini bertambah buruk apabila pihak kapitalis semakin kejamdengan mengerahkan setiap tenaga kerja sehinggakehabisan punca dan apabila ia bangkit dari kekalahan inipastinya ada satu paradigma bersejarah yang dihasilkan.


Namun terdapat batasan objektif kepada pemanjangan hari bekerja, jika ia terlalu panjang, ia bukan sahaja membawa kemerosotan kuasa tenaga pekerja manusia dengan mencuri keadaan moral dan fizikal biasa perkembangan aktivitinya, bahkan juga menghasilkan keletihan dan kematian awal kuasa tenaga pekerja ini. Maka hal inilah yang menimbulkan percanggahan dalam sistem kapitalis sehingga menimbulkan tentangan daripada kelas pekerja yang menjadi mangsa kepada satu sistem yang tertindas.
Meskipun itu, kapital juga dapat meningkatkan kadar nilai lebihan dengan pengeluaran lebih relatif. Peningkatan dalam produktiviti tenaga pekerja akan membawa kemeroston dalam nilai-nilai komoditi yang dihasilkan olehnya. Jika sesuatu pembaikan teknikal dalam keadaan-keadaan pengeluaran merendahkan harga barangan penguna yang mana para pekerja membeli dengan gaji mereka. Hal ini bererti barangan yang dikeluarkan oleh pihak kapitalis dijual pada harga yang rendah dan untuk mengatasi masalah kos pengeluaran gaji pekerja dibayar dengan kadar yang minima. Jelas hal ini menampakkan, kapitalisme memperkenalkan cara-cara baru untuk meningkatkan kadar pengeksploitasian, dengan memaksa tenaga pekerja untuk bekerja secara lebih cekap dengan cara penindasan.

Organisasi Perdagangan Berorientasikan Kapitalisme
Organisasi perdagangan seperti International Monetary Funds(IMF), World Bank, dan World Trade Organization(WTO) adalah propaganda Amerika Syarikat dalam menliberalkan seluruh dunia. Ini kerana, Amerika Syarikat dan juga sekutunya mempunyai peranan yang besar dalam mengubah tahap ekonomi dunia. Bagaimanapun, perubahan yang dilakukan organisasi ini bukanlah untuk kesenangan negara miskin tetapi untuk memberikan kesenangan kepada negara kaya.
Sekarang ada tiga badan dunia yang bersifat macam polis ekonomi untuk mengawasi ekonomi negara-negara di dunia kini. Selain IMF dan Bank Dunia, kini telah wujud yang ketiga iaitu WTO (World Trade Organisation). Tiga badan ini menjadi pengawas kepada perlaksanaan globalisasi di bidang ekonomi.Negara-negara kapitalis kaya di Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat memang sedang menterjemahkan erti globalisasi mengikut kehendak mereka. Dr Mahathir Mohamad berkata baru-baru ini bahawa Barat tidak adil dalam menterjemahkan globalisasi. "Mereka mentafsirkan globalisasi untuk faedah diri mereka saja, iaitu apabila wujud peluang bagi mereka mencari keuntungan," kata Mahathir dalam persidangan "Bank Pusat dan Pertumbuhan Mapan di Abad Ke-21" anjuran Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur, 29 Ogos lalu. Justeru itu, Barisan Alternatif(BA) mesti mengemukakan pandangan alternatifnya untuk menghadapi isu globalisasi ini yang ternyata mempunyai kesan besar keatas kepentingan nasional ekonomi kita pada masa depan. Jika tidak dihadapi dengan serius, ekonomi Malaysia akan selamanya bergantung kepada negara kapitalis kaya.
WTO yang menjadi agen terpenting bagi globalisasi akan menumpukan keutamaannya untuk mempastikan semua negara di dunia yang menjadi ahlinya supaya meliberalisasikan ekonomi masing-masing. Liberalisasi bagi tafsiran WTO ialah pergerakan bebas modal tanpa sempadan negara. Semua halangan bagi pergerakan modal itu akan dianggap bertentangan dengan peraturan yang dikenakan oleh WTO itu. Kebebasan pergerakan modal itu akan menjadi satu prinsip yang begitu penting bagi WTO sehingga ia mengatasi kepentingan nasional sesebuah negara ahli. Jadi ancaman globalisasi yang mahu menelan dan menyedut sumber kekayaan negara-negara Dunia Ketiga seperti Malaysia ini bukan momokan sahaja. Ia adalah satu hal yang nyata.
Lalu BA mesti tampil ke depan untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia, daripada serangan yang datang dari luar iaitu dari syarikat-syarikat multinasional antarabangsa yang disokong oleh negara-negara kaya kapitalis Barat. Barisan Alternatif perlu memberi perhatian ke atas penjajahan ekonomi dalam bentuk globalisasi. Hal ini penting diberi perhatian terutama dalam keadaan dunia sekarang yang dikuasai oleh Amerika Syarikat.

Perjuangan Golongan Yang Tertindas
Terdapat sebuah proses yang berkembang sejak Perang Dunia Kedua, bermula dengan perjanjian Bretton Woods yang mewujudkan Dana Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia (yang menjadi contoh bagi kuasa ekonomi dunia barat yang datang kemudiannya). Ini membuka pintu bagi pencelahan ke dalam dunia yang membangun, dan ini telah berkembang dengan pesat. Dari aspek yang jahil, Perang Vietnam telah membawa kesan yang dahsyat – perang itu memakan belanja yang banyak, sehingga Amerika Syarikat terpaksa mencetak duit kertas baru untuk membiayainya.
Ini bermaksud bahawa perusahaan-perusahaan gergasi di luar keadaan inflasi ini dapat membangun tanpa kawalan. Kini, kita mempunyai sistem global berintegrasi yang paling luar biasa sejak hujung Perang Dingin pada tahun 1989. Dengan penubuhan WTO, kita sedang berhadapan dengan pihak integrasi, predator dan penyelenggara polisi Amerika Syarikat yang paling zalim di dunia. Sekarang, WTO boleh merangkul keuntungan yang gagal diperolehi oleh Bank Dunia dan IMF. Jika ini dibenarkan berterusan, Perjanjian Umum Perdagangan dan Perkhidmatan (General Agreement on Trade and Services; Gats), iaitu sebuah projek WTO, akan bercampur tangan dalam hal pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam yang lain.
Apa yang dapat dilihat dengan jelas apabila kita berbincang dengan Bank Dunia dan IMF, serta mereka yang mewakili tonggak globalisasi, adalah bahawa mereka berasa takut dengan demonstrasi antikapitalis. Mereka telah mencuba melalui sebuah pengubahan perhubungan awam di mana IMF (yang sebenarnya sebuah badan peminjam duit), sekarang ditransformasikan menjadi sebuah institusi ala Ibu Theresa yang ingin menghapuskan kemiskinan. Bank Dunia telah memainkan lagu ini untuk beberapa tahun sambil melakukan perkara yang bertentangan. Ia telah mengembangkan proses ini sehingga tahap yang begitu melucukan dengan mendakwa bahawa ia kini merupakan sebuah badan pencegah kemiskinan. Kita juga dapat melihat bagaimana institusi predator paling teruk, iaitu WTO, memanggil dirinya sebuah pertubuhan amal. Semua ini adalah reaksi terhadap penentangan global terhadap globalisasi.
Perjuangan anti-kapitalis merupakan pergerakan terbesar menentang sistem sejak Perang Dunia Kedua. Ia sebenarnya bertarung dengan kapitalisme, dan walaupun ini berlaku secara sedikit sebanyak pada tahun 1960-an, saya rasa ini tidak pernah berlaku dengan begitu besar sekali di merata dunia. Di sebuah negara di mana kononnya media massa bebas melaporkan apa sahaja, kita jarang sekali mendengar khabar mengenai gerakan ini.
Tetapi itu bukan sesuatu yang baru. Yang luar biasa adalah fakta bahawa kita mempunyai gerakan di Amerika Latin, Asia, Afrika, dan dunia maju, yang mewakili gerakan asas (yang sebenarnya bermakna tentangan hebat). Fakta bahawa berita ini tidak dihiraukan atau didiamkan menunjukkan betapa takutnya mereka yang berkuasa. Kita dapat melihat reaksi kerajaan dunia barat terhadap tentangan ini dalam cara kerajaan Tony Blair [di Britain] menyerang penunjuk rasa antiglobalisasi pada Hari Pekerja yang lalu. Itu telah membawa kesan yang tidak disangka-sangka, tetapi ia juga menunjukkan rasa takut di antara penyokong projek neoliberalisme.
Peristiwa besar seperti ini tidak pernah melihat begitu ramai penyokong yang berbeza, dan tentangan terhadap kapitalisme global disokongi oleh kesatuan-kesatuan pekerja, pertubuhan bukan kerajaan (non-government organisations; NGO), pemuda-pemudi yang tidak mempunyai afiliasi dengan mana-mana pihak. Ia telah menghasilkan sokongan padu pada tahap asas dan intinya merupakan gerakan kelas pekerja.

Percanggahan Yang Terdapat Dalam Kapitalisme Akan Menghasilkan Peperangan
Kapitalisme dan peperangan mempunyai perhubungan yang rapat. Kapitalisme baru ini telah mengembangkan sebuah perlumbaan senjata sejak ia bermula selepas hujung Perang Dingin. John Molyneux berpendapat bahawa kita sedang mengalami Perang Dingin kedua – ini telah bermula sejak 1989 lagi. Dari pelbagai aspek, perang kedua ini lebih merbahayakan kerana Perang Dingin pertama sebenarnya hanya pertikaian retorik di antara Amerika Syarikat dan Soviet Union, dengan perang sebenarnya diperjuangkan di dunia membangun.
Perlumbaan senjata ini amat merbahayakan kerana ia bukan sahaja diseru oleh kerajaan George W. Bush [di Amerika Syarikat]. Perlumbaan senjata ini dimulakan oleh bapa Bush, dan dipercepatkan oleh Clinton. Sistem Pertahan Peluru Berpandu Kebangsaan (National Missile Defence) sebenarnya bererti cara tentera Amerika Syarikat menguasai angkasa dan mewujudkan keadaan di mana negara-negara lain (seperti Negara Cina dan Rusia) mengejar, dan berakhir dengan pemusnahan ekonomi. Hal ini berkaitan dengan penguasaan angkasa lepas. Jika anda membaca dokumen-dokumen sulit, ia menceritakan bagaimana Amerika Syarikat ingin membahagikan dunia mengikuti garisan ‘mereka yang kuat’ dan ‘mereka yang lemah,’ dan bagaimana Amerika Syarikat ingin menjaga kepentingannya.
Kita belum pasti apa yang dimaksudkan oleh semua ini. Ia mungkin sebuah fantasi yang berselewang, tetapi mungkin juga tidak. Yang pasti, perbelanjaan yang akan diagihkan kepada perusahaan persenjataan Amerika Syarikat untuk membina sistem ini bukannya sebuah fantasi. Ia akan mengubah situasi di merata dunia dan akan menimbulkan perlumbaan senjata mini di merata-rata. Tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa Negara China akan memantapkan sistem persenjataannya. Akibat Perang Teluk dan operasi di Kosovo, Majlis Keselamatan Kebangsaan Rusia telah mengubahsuaikan strateginya: ia sekarang mempertahankan sempadan baratnya dengan senjata nuklear. Ini merupakan masa yang merbahayakan, dan memang terdapat juga perlumbaan senjata bukan nuklear yang sedang berkembang, dengan Britain mengetuai perlumbaan ini.

Penutup
Kesimpulan yang dibuat hasil daripada kajian mengenai teori Marxisme dan sosialisme, satu anjakan paradigma iaitu revolusi golongan sekerja atau komunisme sememangnya wajar. Akibat daripada percanggahan yang terdapat dalam sistem kapitalisme sehinggakan menghimpit golongan proletariat dan terus menyenangkan pihak kapitalis yang sentiasa cuba menghisap tenaga para pekerja ini. Akibat kapitalisme juga, jurang perbezaan ekonomi yang ketara antara golongan kaya dan golongan miskin,perubahan dari sudut sosial tidak berlaku dalam kapitalisme. Disini, tokoh-tokoh dunia menekankan masyarakat yang berkongsi segala sumber yang ada dalam negara dan hubungan sosial antara pekerja dengan majikan dititikberatkan.
Selepas Perang Dingin berakhir, Francis Fukuyama telah menulis buku ‘the end of history’ untuk menyatakan berakhirnya sistem sosialisme. Namun sebenarnya, sosialisme masih belum berakhir dan masih wujud, namun komunisme boleh dianggap telah mati akibat kalah menentang kapitalis. Dunia juga masih belum selamat daripada Perang Dunia III kerana menurut Marx sistem kapitalisme akan runtuh dengan sendirinya apabila berlaku percanggahan. Percanggahan yang dimaksudkan ini ialah persaingan yang wujud dalam ekonomi kapitalisme dan peperangan akan menghancurkan sistem ini.


















Bibliografi
Chairul Anwar, “WTO dan Masalah Penyelesaian Sengketa Dagang”, dalam Sosialis Review, Jilid 17(24).

Summer,C. Reading Ideologies:an investigation into Marxist theory of ideology and law, London: Academic Press Inc.,1979, hlm. 23

Engel, F. “Karl Marx and His Struggle To New Generations”. Jilid 4(8) tarikh akses pada 2 Mac 2006 daripada Socialism and Democracy online: http://www.sdonline.org/28/feature_28_1.htm

Lenin, V.I. Negara dan Revolusi, (terjemahan Anwar Saad), Moscow: Focal Press, 1964.
.
Keynes, John. Keynesian Theory of Economic. London: Master Publisher, 1970.

Parkinson, F. The Philosophy Of International Relations:A study in the history of thought. Beverly Hills: Sage Publications, 1977.


Rehmann, Jen. “The historical-critical dictionary of Marxism:A Noah’s ark of critical thinking”. Jilid 19, 2). tarikh akses pada 2 Mac 2006 daripada Socialism and Democracy online: http://www.sdonline.org/28/feature_28_1.htm.

Smith, Adam. The Wealth of Nation, Boston: Oxford Printing, 1965.

Suhardi Paiman, “Neokomunisme Satu Paradigma: Kapitalisme mengikut selera barat”, dalam Jakarta Post, Jilid 9 (5).