Thursday, May 17, 2007

politik AS selepas USSR

Sistem hubungan antarabangsa pada hari ini amatlah goyang dan goncang. Kebanyakkan perhubungan antarabangsa dijana oleh konflik bukannya kerjasama. Hal inilah yang membawa kepada sistem anarki antarabangsa. Kerajaan dunia ketika ini adalah ditadbir oleh Amerika Syarikat, namun mereka seolah-olah tidak mahu untuk bertanggungjawab di atas soal-soal isu dunia walaupun mereka mempunyai kemampuan. Tetapi kadang kala mereka cuba untuk bertindak demikian. Ia hanyalah merujuk kepada kepentingan nasional mereka semata-mata. Seperti mana slogan negara itu sendiri "America first". Memang dan benar, Amerika jelas secara terang-terangan hanya bertindak di garisan national interest sahaja. Cuba lihat pada konflik Balkan dan bandingkan pula dengan isu pencerobahan Iraq dan beberapa negara Arab yang lain. Sewaktu serangan Amerika di Iraq, Amerika bukanlah untuk mempertahankan demokrasi atau juga untuk menyebarkan American Creed, tetapi sebaliknya lebih menjaga kepentingan minyak mereka sahaja. Ini kerana, negara yang mengawal minyak akan mampu mengawal perdagangan dunia, kerana minyak adalah satu sumber utama dan ia adalah satu keperluan. Malah Amerika juga cuba mengurangkan dominasi OPAC mengenai isu minyak. Mereka seolah-olah mahu memonopoli perdagangan dunia. Sudahlah beberapa jenis komiditi utama dunia te;ah di kawal oleh Amerika, kini (sudah sekian lama), mereka akan mendominasi dunia. Kerana mereka sedar, peperangan kini adalah dalam bentuk ekonomi. Blok ekonomi yang terkuat akan mendominasi dunia. Jika dilihat pula kepada isu pembersihan etnik muslim Bosnia di Balkan, Amerika jelas menyatakan mereka tidak mempunyai tentera untuk peperangan itu. Yang ironinya, mereka mempunyai tentera pula untuk pencerobahan ke atas Iraq. Berbagai alasan yang digunakan oleh pemimpin tertinggi Amerika bagi mengelakkan mereka terjerumus ke dalam konflik Balkan, malah Amerika mengunakan alasan 'isu dalam EU'. Namun mengapa zaman 70-an dahulu mereka menyerang Vietnam? Secara bersendiri Amerika masuk ke dalam konflik Vietnam, walaupun Charles de Gaulle menyatakan 'jangan untuk konflik vietnam'. Ternyata teguran de Gaulle yang tidak diendahkan oleh Amerika mengundah padah. Jika Amerika tidak mahu campur tangan di negara-negara yang tertentu, jangan pula mereka menyentuh negara-negara lain. Berlakulah secara adil kerana, adil itu adalah satu sifat dalam demokrasi yang diperjuangkan Amerika. Tetapi mereka seolah-olah berpura-pura dalam penipuan.

Mungkin, Perang Dingin sepatutnya tidak tamat lebih awal, hal ini boleh mengurangkan peranan Amerika sebagai "the woorld biggest bully". Malah, sarjana dari Amerika sendiri, Noam Choamsky menyatakan Amerika sebagai ketua penganas dunia (terrorist lead), pernyataan ini adalagh kerana sifat Amerika yang banyak menceroboh negara luar tanpa di jemput. Bukan seluruh dunia memerlukan Doktrin Monroe! Walhalnya, Doktrin Monroe itu sendiri sudah tidak berkuatkuasa di Amerika Latin, kini Amerika cuba meluaskan doktrin itu ke seluruh dunia. Tetapi mereka gagal di Amerika Selatan. Ini kerana, kebanyakkan negara Amerika Selatan sedar bahawa Amerika cuba mengeksploitasi mereka. Dengan itu ramai di antara pemimpin-pemimpin Amerika Latin mengganggap bahawa komunisme adalah satu mekasnisme yang penting dalam mengengkang kemasukkan anasir-anasir Amerika. Namun, pada hakikatnya, komunisme bukanlah satu yang sempurna dalam mengawal kewujudan Amerika di seluruh dunia. Pada hari ini, kita sudah lihat, banyak negara komunis dan bekas komunis sudah menjadi kawasan jajahan takluk Amerika. Ini kerana negara-negara komunis amat kebutuhan dengan sistem ekonomi yang mantap. Maka kapitalisme adalah satu mekanisme yang baik. Bagi mengawal dominasi Amerika, para pemimpin dunia sepatutnya bijak dengan mengadakan satu regulasi yang tegas dan mampan. Kebanyakkan, agen utama Amerika bukanlah pihak pentadbiran White House, tetapi dilancarkan melalui TNC-TNC Amerika. Oleh itu, bagi mengawal Amerika ialah dengan mengawal TNC mereka, perundangan negara, tetapi bukan satu atau segelintir negara sahaja, rancangan ini sepatutnya dilaksanakan secara menyeluruh ke seluruh dunia. Maka satu perundangan internasional bagi mengawal TNC adalah penting. Pengawalan TNC Amerika bermakna pengawalan terhadap Washington.

Kemanusiaan Hakiki

Ramai manusia yang masih tidak mengerti tentang erti kemanusiaan. Realiti dunia hari ini, kemanusiaan sudah pupus dihati manusia. Manusia tidak lagi menjadi manusia. Kemanusiaan sudah luput ditelan zaman. Cuba kita alihkan seketika bagi memberi peluang kepada kemanusiaan menyuarakan sedikit rasa hati. Lihat sahaja pada hari ini. Berapa ramai manusia yang membunuh manusia, berapa ramai lagi manusia yang ada hati perut mengertikan erti kemanusiaan.

Pemimpin dunia sentiasa berbicara mengenai soal-soal kemanusiaan tetapi, mereka masih lagi berpendirian realisme. Jika seribu manusia dibunuh untuk kepentingan mereka itulah yang difahamkan mengenai realisme. Ditambah pula dunia pada hari ini dibelenggu oleh sistem kapitalisme, masyarakat bawahan yang terpinggir telah menderita, masih lagi berada pada garisan kemiskinan jika relatifnya dibandingkan dengan golongan borjuasi, rakyat marheim masih lagi sakit dan merana. Hiba perasaan saya apabila melihat pengemis jalanan terutamanya perempuan, kanak-kanak, dan mereka yang kurang berupaya. Berapa banyakkah borjuasi hulurkan bantuan untuk mereka? Tidak cukupkah kekayaan yang selama ini dikecapi? Adakah kesenangan dan keselesaan membutakan mereka? Bersama kita fikir-fikirkan sejenak. Kita fikirkan bagaimanakah nasib umat manusia kini. Masing-masing bersaing cuba menjatuhkan antara satu sama lain. Kadang-kadang sehingga menjadikan mereka yang lemah sebagai boneka. Mereka ini dieksploitasi dan dikerah sehabis-habisnya.

Benarlah. Sistem kapitalisme itu menjadikan orang kaya bertambah kaya dan orang miskin semakin melarat akibat kekayaaan itu. Apabila makin banyak kekayaan yang dunia kumpul. Hidup kita menjadi semakin sukar. Bukannya kekayaan itu memberi kesenangan secara menyeluruh tetapi kesenangan itu sebenarnya hanya untuk minoriti sahaja.

Erti kemanusiaan sebenarnya bukan sahaja dalam erti kata bunuh membunuh dengan peluru senapang. Tetapi lebih dari itu. Kemanusiaan meliputi segala aspek kehidupan dari ekonomi sehinggalah agama. Di ambil contoh dari agama, jika erti kemanusiaan yang ada dalam erti mereka yang lebih mengertikan agama maka mereka sepatutnya tampil bersungguh-sungguh menyebarkan agama, bukan memaksa untuk memeluk agama. Tetapi bersungguh-sungguh memberi ajaran bagaimana seorang individu yang sempurna dapat diwujudkan melalui agama. Agama adlah tiang utama dalam melahirkan individu dan warga negara yang baik. Dengan erti kata yang lebih mudah, mereka yang kaya dengan keagamaan perlu member peluang kepada mereka yang tersisih untuk turut serta. Lihat sahaja pada hari ini, ramai di antara mereka-mereka yang celik agama tidak mahu mendekati mereka yang buta agama. Seolah-olah perbezaan kasta wujud di sini. Para ustaz dan uztazah muda di universiti seolah-olah tidak mahu mendekati perempuan yang mendedahkan aurat, lelaki yang merokok sekalipun mereka seolah memandang jijik. Maka erti kemanusiaan mereka yang beragama tinggi juga sebenarnya rendah. Mereka seolah-olah membiarkan golongan ini sendiri, bukan untuk memperbaiki keadaan,mereka menjauhi lagi keadaan yang rosak itu. Dan ingatkan tindakan menjauhi itu akan menjadikan hal yang lebih rosak.

Justeru itu, bukanlah saya ingin memberi khutbah bodoh. Maka sebagai insani yang mempunyai akal fikir dan akal rasa, saya merasakan kita seolah-olah tertakluk dengan erti tentangan kemanusiaan dalam ruang lingkup yang kecil. Ingatlah, erti kemanusiaan sebenarnya bukan berasaskan kepada soal nyawa. Tetapi ia lebih dari nyawa. Ia adalah sesuatu yang tinggi nilainya melangkaui manusia itu sendiri.

Thursday, May 10, 2007

Sistem Pendidikan Harus Diperkemaskan

''Budaya sekolah yang terlalu menekankan pencapaian akademik telah menimbulkan beberapa masalah di kalangan remaja yang boleh dikategorikan kepada tiga iaitu ketidakseimbangan yang ketara pencapaian akademik, pelanggaran peraturan tatatertib dan masalah emosi (takut dan menarik diri).''

Sistem pendidikan negara sama ada peringkat sekolah atau pun pusat pengajian tinggi sepatutnya sentiasa digubah dan dikupas semula. Ini kerana dalam menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berdaya saing terutamanya dalam arus globalisasi kini, sistem pendidikan perlu sentiasa dikaji dan dikupas secara berterusan agar sistem pendidikan di negara ini selaras dengan sistem pendidikan di negara maju. Bukannya apa, hal ini adalah kerana sistem pendidikan adalah aset utama kemajuan negara. Maka, dalam menghasilkan satu sistem pendidikan yang bermutu ia perlulah keluar daripada kompongan yang mengcengkam. Pelajar kita sepatutnya menjadi lebih kreatif dan tidak perlu takut-takut untuk menghasilkan sesuatu yang kreatif. Saya percaya, di luar sana, ramai pelajar kita yang bersifat kreativogenik dan mampu menghasilkan sesuatu yang berbentuk inovatif

Berbicara seketika mengenai pembelajaran dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris, kita tidak sepatutnya meletakkan satu garis yang kasar dalam memilih apakah medium bahasa yang akan digunakan. Sebaliknya, pendekatan dengan mengunakan kedua-dua bahasa itu adalah lebih diperlukan. Ini kerana dalam menghasilkan pelajar yang mampu berkomunikasi dengan Bahasa Inggeris yang mana akan mengerakkan kita ke arah internasionalisasi, pelajar kita juga perlu fasih dan berkemahiran dalam mengunakan bahasa ibunda. Dalam erti kata lain, kita sedang mengejar sesuatu yang kedepanan tetapi pada masa yang sama kita tidak lupa tentang apa yang sudah kita ada. Sesuatu yang sudah ada perlu diperkuat dan apa yang mendatang harus diperkasakan!

Dalam pada itu juga, pihak kerajaan terutama kementerian pelajaran dan juga sekolah atau pusat pengajian sepatutnya tidak mengabaikan pelajar yang memperolah keputusan yang rendah. Mungkin Institut Kemahiran yang ada pada hari ini bagi mengisi pelajar yang gagal mendapat kelulusan yang baik patut di kaji semula. Mereka sepatutnya bukan sahaja diberikan pelajaran mengenai kemahiran tetapi juga perlu di ajar mengenai perniagaan bagi memasarkan kemahiran mereka, pelajaran mengenai komunikasi sepatutnya juga diajar iaitu sebagai batu asas, di mana pelajar-pelajar tadi mampu berkomunikasi dengan baik. Ini kerana, kebanyakkan pelajar IKM gagal mengkomunikasikan kemahiran yang pada mereka kepada masyarakat

Selain itu juga, pelajar-pelajar pengajian tinggi juga perlu diberi pelajaran mengenai kemahiran, bukan sahaja mengenai cara berfikir secara kreatif dan kritis sahaja. Dengan sistem pendidikan 'liberal arts' kita akan mampu melahirkan pelajar dan juga warga negara yang berserba boleh serta mampu melawan arus globalisasi. Seterusnya mereka akan mampu bersaing dengan pelajar-pelajar dari negara maju.

Disini saya mahu mencadangkan agar sistem pendidikan kita tidak terlampau mengongkong para pelajar dan juga sistem 'liberal arts' sepatutnya menjadi tunjang dalam dasar pendidikan negara. 'Liberal arts' akan menlahirkan pelajar yang berkemampuan berfikir dari pelbagai prespektif dan bukan sahaja dalam ruang lingkup bidangnya. Sebagai contohnya, pelajar jurusan sains juga perlu diajar sedikit sebanyak mengenai perniagaan, kesenian, undang-undang, dan sastera. Melalui sistem pendidikan 'liberal arts' kita akan berjaya menlahirkan pelajar yang berdaya saing dan individu yang berpengetahuan tinggi. Ini kerana ilmu pengetahuan adalah tunjang kepada individu yang cemerlang.

Wednesday, May 9, 2007

Perangi AIPAC

A Voice for the U.S.-Israel Relationship
For more than half a century, the American Israel Public Affairs Committee has worked to help make Israel more secure by ensuring that American support remains strong. From a small public affairs boutique in the 1950s, AIPAC has grown into a 100,000-member national grassroots movement described by The New York Times as "the most important organization affecting America's relationship with Israel."

Kita bayangkan, bagaimana masyarakat Israel sudah mampu pergi jauh walhal mereka sebenarnya tidak pernah memiliki sebuah negara pun. Pada tahun 1948 mereka telah merampas tanah-tanah daripada rakyat Palestin. Dan pada hari ini, mereka sudah boleh bermegah dengan kedaulatan dan tanah tumpah air mereka sendiri. Agak menyedihkan kita sebagai umat Islam apabila hanya duduk termanggu dan terkedu melihat pendudukkan Israel di bumi Palestina. Pada asalnya, Israel bukanlah negara yang mempunyai kekuatan ketenteraan malah ekonomi juga. Akan tetapi mereka memiliki sebuah aset yang penting iaitu 'otak', 'sifat' dan 'semangat'. Satu perkara yang menarik mengenai Israel walaupun seluruh dunia membenci mereka hatta masyarakat Kristian sekalipun, tetapi kepintaran mereka adalah aset utama. Bukanlah saya ingin memuji masyarakat 'dajal' ini. Tetapi itu hakikat, itulah realiti. Cuba kita bayangkan berapa ramai manusia yang lahir pada zaman ini dan zaman sebelumnya adalah kelahiran masyarakat zionis itu. Lihat sahaja kepada Albert Einstein, Micheal Bloomberg, Henry Ford, dan ramai lagi. Mereka bukan sahaja menguasai ekonomi, militan, malah juga kepada media yang kita lihat pada hari ini. Kita yang hidup kini sentiasa dikejar oleh propaganda Israel. Sedih bukan?

Sebenarnya, masyarakat dunia bukanlah dikawal oleh Bush atau sekutu sepapatnya. Tetapi dunia ini dikawal oleh satu organisasi yang dinamakan sebagai American Israel Public Affair Commitee. Merekalah yang mengawal dunia pada hari ini. Lobi Israel yang jahanam!. Cuba lihat sahaja kepada perlantikan presiden Amerika, Bush, Clinton, Nixon, Gerald Ford, dan pelbagai lagi selepas era Roosevelt, Amerika telah dikawal oleh sebuah organisasi. Kenapa saya nyatakan sedemikian, ini kerana secara jelas mereka telah memberikan bantuan berbentuk dana kewangan dan segala macam agar presiden yang bakal memerintah akan pro-Israel. Oleh itu mengapa Mr.Bush mengatakan Aron Sharon sebagai "man of peace". Begitu ajaib bukan kata-kata yang dikeluarkan oleh bekas presiden Amerika itu. Ia adalah seolah-olah mengatakan YA kepada kesemua tindakan Israel kerana mereka mencari keamanan. Jika benar "man of peace" ini memberikan keamanan kepada dunia pasti sudah dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan. Atau mungkin juga boleh kita kata "Hadiah Keamanan Kepuraan Amerika". Sedih sekiranya saya menjadi rakyat Amerika.

"Political advocacy is one of the most effective ways in which AIPAC works to accomplish its mission. Each year, AIPAC is involved in more than 100 legislative and policy initiatives aimed at broadening and deepening the U.S.-Israel bond".

Kita sepatutnya kembali bangkit, mengembalikan semula apa yang telah dirampas oleh Israel. Tidak perlulah tidak melakukan serangan berbentuk fizikal kerana ini akan menyebabkan kita akan dikenali sebagai penganas kerana Amerika pada hari sibuk dengan dasar counter terrorist mereka. Seperti mana kata Walter Laquer penganas adalah satu kegiatan militan yang mengunakan kekerasan fizikal dan bertindak melangkaui norma-norma kemanusian. Dan kita sepatutnya mengelak daripada digelar sebagai penganas, kerana ini akan menyebabkan dunia memandang serong akan kesucian agama Islam. Walhal mereka tidak pernah tahu bahawa Islam sama sekali menghalang kekerasan. Mungkin kita memerlukan satu perspektif baru dapat melancarkan serangan kepada Israel. Mungkin juga teknik deterrance satu tindakan yang bijak dalam menghalang pendudukkan kaum-kaum Israel di bumi Islam. Kita juga boleh mengunakan teknik psikologi, propaganda, dan perang saraf dalam menghadapi Israel celaka. Maka mengikut hemat saya, pendekatan kekerasan tidak lagi sesuai pada hari ini kerana kita pada hari ini dihambat oleh kemajuan teknologi dan juga komunikasi. Sepatutnya kita mengunakan kemajuan-kemajuan yang ada ini dalam menyekat kemaraan Israel dan juga bos besar mereka-Amerika dan Britain, kadang kala mereka ini pula kuncu. Serangan yang berbentuk primitif tidak lagi sesuai dalam kaedah peperangan moden kini.

Tuesday, May 8, 2007

demokrasi media malaysia bukan hanya momokan

Jika dulu, aku berada diluar situasi dimana aku tidak pernah menjadi pengamal media, hari ini aku menjadi wartawan-walaupun untuk 2 bulan. Namun sudah banyak yang aku pelajari dari wartawan-wartawan yang berpengalaman dan berprolifik. Terima ksih kepada En. Ramli di meja jenayah kerana banyak memberi aku tunjuk ajar walaupun 2 hari baru aku berada di utusan melayu kini. Satu pengalaman yang hebat sebagai wartawan pelatih. Terima kasih juga kepada kak Uma kerana mengajak aku ke IPK KL bagi mencari `story`. Thank for the water, hehehe.

OK. Aku ingin berbicara sedikit mengenai demokrasi media di Malaysia, tanah airku sendiri. Begitu menarik tetapi agak klise namun wataknya sebenarnya agak baru. Aku ingin membawa satu perspektif baru mengenai demokrasi media di negara ini. Selama ini dan sehingga sebelum kini aku dan ramai lagi merasakan kebanyakkan manusia-manusiawi di luar sana merasa dan terasa media khasnya media cetak seperti mana tabloid kita amatlah terbatas. Aku juga banyak kali mengutuk, mencaci, mencela dunia wartawan tanah air. Tidak pernah demokrasi dan aku rasa wartawan kita tidak faham pun mengenai demokrasi. Ramai rakan malah guruku di universiti mencaci memaki hamun wartawan kita. Konon takut untuk keluar dari cengkaman fasisme. Tapi pada hakikat yang sebenar yang berdiri pada garis realiti dunia sang wartawan, demokrasi itu sebenarnya wujud secara sengaja dan neutral. Ia seolah-olah satu flow yang bergerak sendiri. Apabila kamu menjadi wartawan secara sengaja atau tidak disengajakan kamu sudah berganjak pada garis-garis demokrasi yang lebih asli dan telus.

Mungkin ramai yang termanggu! Ya. Aku sendiri termanggu bila En. Ramli bercakap-cakap "wartawan kita lebih bebas". Aku kira empat atau lima kali aku bertanya kembali "betulkah". Aku tidak pernah percaya dengan momokkan yang dilontar oleh En. Ramli. Arrgghhh, retoriksi! kataku. Bukan sebelum selepas itu, bukan seminggu selepas itu. Esok! En. Ramli mengajak aku untuk interview seorang yang melaporkan kes judi melibatkan orang melayu. Orang melayu pegawai atasan. Pegawai atasan dalam KERAJAAN. Sebelum bercerita panjang, berita ini belum sahih kerana tidak pernah pula si pelapor itu tahu menahu si penjudi itu orang kerajaan atau bukan. Tetapi bukan ini yang menjadi tajuk utama cerita aku ini, ini adalah berkenaan demokrasi bukan kes judi ke pegawai atasan ke. Berbalik semula pada cerita aku tadi. Ya! dan sekali lagi aku ingin kata Ya! Ya! Negara kita pemerintah kita memberikan kebebasan kepada akhbar.

Mungkin ada yang bertanya kenapa akan aku kata begini. Ini adalah kerana dan bagaimana demokrasi itu wujud secara neutral seperti aku katakan tadi. Ya! kami boleh melaporkan kepada rakyat bahawa ramai diantara pegawai kerajaan berjudi. Mengutuk kerajaan. Ya kami mengutuk sesetengah yang terlibat dalam kerajaan tapi ia adalah dalam berbentuk positif. Ia akan untuk membina dan untuk memperbaiki sistem bukan untuk menghancurkan sistem. Bukankah demokrasi digunakan untuk kebaikan maka kita patut gunakan ia secara yang baik. Ok. Apabila kami melaporkan perkara sebegitu maka secara tidak langsung kerajaan dan pihak berkuasa akan sedar dan tersedar akan perkara ini. Dan demokrasi inilah yang akan membantu untuk memperkukuhkan kerajaan dan sistem kerajaan serta orang kerajaan. Sekiranya ada wujudnya laporan sebegini telah menampakkan kepada kita semua bahawa demokrasi yang kita semua kata tidak pernah ada dalam diri wartawan kita sebenarnya palsu. Ia adalah sebati dengan wartawan. Ia adalah satu objektif kepada wartawan untuk memperbaiki sistem ini.

Jika kita semua merasakan bahawa demokrasi adalah untuk mengutuk kerajaan sehingga membawa kepada kekacauan dan rusuhan. Itu adalah satu perkara yang bodohtolol. Adakah kita sanggup untuk mengunakan terma demokrasi untuk menimbulkan anarki di negara kita?. Demokrasi itu adalah sesuatu yang baik, sanggupkah kita mempergunakan istilah itu untuk menghancurkan legasi yang dibina oleh nenek moyang kita? Kita anda sanggup, maka tidak ubahlah anda seperti mana penjenayah dan ahli-ahli khianat sedunia yang cuba untuk menlumpuhkan kekuatan penguatkuasaan kita. Disini ingin aku tekankan dan ingatkan. Golongan penjenayah dan pengganas gemar kepada `fail state` mereka dapat mengawal segala sistem dalam kerajaan. Adakah ingin kita melihat negara kita menjadi sarang kepada penganas penjenayah?

Kita duduk dan fikirkanlah untuk sejenak. Berpuaslah dengan apa yang ada. Kita sudah aman makmur. Kita sudah membangun walaupun tidak maju-maju. Tetapi kita tetap dapat hidup dengan keselesaan. Kekayaan dan kemajuan tidak pernah buat manusia sesenang!

Wednesday, February 21, 2007

Karl Marx,kapitalis dan penindasan(renew)

Sistem Kapitalis Yang Menindas

Pengenalan
Kita kini sedang menghayati sebuah dunia di mana kekayaan sedang diciptakan pada kadar yang tidak dapat dibayangkan oleh generasi-generasi terdahulu. Kejayaan-kejayaan teknologi, seperti kejuruteraan genetik dan dunia Internet, sedang berkembang dengan pesat. Menurut penyokong kapitalisme di merata dunia, sistem inilah membolehkan manusia mencapai tahap ketamadunan yang tinggi, lantas menjadikan sistem kapitalis sebagai sebuah sistem yang sempurna dan tidak dapat diubah.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa buat pertama kali dalam sejarah manusia, kita mempunyai kekayaan yang mencukupi untuk memuaskan setiap insan di dunia. Namun, hal yang tidak diperkatakan oleh penyokong-penyokong kapitalisme adalah berjuta-juta orang masih mengalami kebuluran, penyakit berjangkit, dan kehidupan yang dikecewakan oleh kemiskinan. Masyarakat kita, iaitu masyarakat kapitalis , dikuasai oleh ketidaksamarataan dan ketidakadilan, sambil kehidupan kita diancam oleh krisis ekonomi dan konflik bersenjata.
Bukankah sistem kapitalis sebuah sistem di mana beberapa individu yang kaya memiliki klang-kilang, pejabat-pejabat, dan perusahaan-perusahaan yang lain?. Maka penulisan esei ini adalah berkaitan dengan percanggahan yang terdapat dalam sistem kapitalisme dan yang jelas adalah bahawa para pekerja dan golongan bawahan akan terus dieksploitasi dan ditindas di bawah sistem kapitalis ini.


Sistem Kapitalisme; Konsep dan Ciri-Cirinya
Sistem kapitalisme ialah satu sistem yang bertunjangkan ideologi liberalisasi yang mementingkan individualisme dan juga satu konsep yang menekankan keuntungan dalam perniagaan, yakni campur tangan kerajaan telah diminimakan. Kapitalisme juga menekankan prinsip ‘free-trade’ (perdagangan bebas) ataupun ‘laissez-faire’.
Sistem ini muncul pada penghujung zaman pertengahan dan zaman moden Eropah iaitu pada abad ke-17. Di mana golongan feudal di Eropah serta golongan aristokrat telah manjadi kaya raya dan berpengaruh akibat daripada dasar merkantilisme. Hal ini telah menjadikan penentangan bagi golongan pertengahan (middle class) yeng menginginkan kebebasan dan meminimakan kawalan kerajaan dalam ekonomi.
Bagi Adam Smith, dalam bukunya “The Wealth of Nation”, menyatakan, wujudnya satu mekanisme semula jadi yang beliau namakan “The invisble hands” yang mengerakkan ekonomi. Mekanisme yang dimaksudkan ini ialah pasaran itu sendiri sama ada ditentukan oleh permintaan dan penawaran, dan kerajaan tidak terlibat dalam proses perdagangan. Bagaimanapun, teori Adam Smith ini telah dibantah oleh seorang pakar ekonomi, iaitu John Keynes yang telah menulis sebuah buku “Keynesian Theory of Economic”, menyatakan bahawa peranan kerajaan tidak boleh diabaikan, kerana ia akan melahirkan satu masyarakat yang tidak mempunyai tanggung jawab sosial dan melahirkan individu yang mementingkan diri. Hal ini kerana, peranan kerajaan adalah penting dalam mewujudkan satu kehidupan sosial yang baik.
Keynes juga menyatakan bahawa kapitalisme bukanlah satu sistem ekonomi yang kukuh kerana ia tidak mempunyai satu tiang yang kuat(kerajaan) dan boleh menyebabkan persaingan yang akan meletuskan peperangan. Bagi beliau, Perang Dunia Pertama adalah berpunca daripada teori merkantilisme, kapitalisme, dan liberalisasi yang meletuskan persaingan untuk mendapatkan sumber ekonomi.
Karl Marx, seorang tokoh sosialis juga secara terang-terangan mengutuk sistem kapitalisme yang telah menyebabkan perbezaan jurang ekonomi yang besar diantara golongan kaya dengan golongan miskin. Marx, telah menulis beberapa buku semasa hayatnya sebagai luahan, penentangan, dan kesedaran sosial beliau dalam memerangi kapitalisme; antara buku tulisannya Das Kapital, Communist Manifesto, dan Manuskrip-Manuskrip Ekonomi dan Falsafah Tahun 1844. Melalui pendapat tokoh-tokoh dunia ini, jelas menampakkan kapitalisme adalah satu sistem yang menindas golongan lemah, terutamanya golongan pekerja dan miskin.



Kelas Pekerja Yang Tertindas
Bentuk pengeksplotasian adalah secara sendirinya bergantung kepada pengagihan cara-cara pengeluaran. Dalam kes perhambaan, pekerja adalah alat pengeluaran, harta kepada tuan dalam cara yang sama seperti tanah yang diusahakan oleh hamba. Ia kelihatan seolah-olah seluruh usaha hamba adalah usaha lebihan, kerana mereka tidak berhak menikmati hasilnya. Manakala dalam kes feudalisme, dalam sebelah tangan petani mungkin memiliki beberapa cara pengeluaran – alat-alat dan binatang – tetapi tidak memiliki tanah yang mereka usahakan.
Maka, mereka terpaksa membahagikan masanya diantara tenaga pekerja yang diperlukan, untuk dirinya dan keluarga, dan tenaga pekerja lebihan, apabila petani bekerja untuk tuan tanah. Dalam kedua-dua cara pengeluaran ini, pengeksploitasian adalah agak jelas dan bergantung kepada kuasa fizikal pemilik ke atas pengeluar-pengeluar secara langsung. Pemilik hamba boleh melakukan apa sahaja kepada seorang hamba sama ada menyeksa atau membunuh hamba yang malas bekerja. Tuan-tuan tanah pula memiliki kuasa ketenteraan, dalam bentuk askar-askar bersenjata. Kuasa pemilik tanah untuk memerah tenaga pekerja adalah bergantung kepada monopolinya ke atas kuasa.
Namun di bawah kapitalisme, pekerja adalah bebas dari segi undang-undang. Ia tidak terikat dengan pihak kapitalis dalam cara hamba diikat kepada pemiliknya atau cara petani diikat kepada tuan tanah. Pengeksploitasian bukannya bergantung kepada penaklukan fizikal pengeluar secara langsung kepada pemilik harta, tetapi ada tekanan ekonomi dan yang penting sekali pekerja tidak memiliki cara-cara pengeluaran. Karl Marx menyatakan bahawa pekerja adalah bebas dalam dua segi, bebas dari hubungan-hubungan pelangganan, ikatan dan penghambaan lama dan yang kedua bebas dari segala harta dan pemilikan.
Hubungan-hubungan pengeluaran dalam masyarakat kelas, bukanlah hubungan diantara individu dengan individu tetapi diantara pekerja dan kapitalis, diantara petani dengan tuan tanah. Bagi Karl Marx, hubungan-hubungan kelas yang didasarkan pada pengeksploitasian ini adalah kunci untuk memahami masyarakat. Dalam karya Marx, ‘Communist Manifesto’ beliau menerangkan percanggahan yang berlaku antara golongan proletariat dan ‘bourgoise’ yang akan menghasilkan revolusioner sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.
Percanggahan ini akan berakhir apabila berlakunya peryusunan semula masyarakat revolusioner ataupun dalam kehancuran bersama kelas-kelas yang saling bertempuran, masyarakat bourgoise moden yang telah bertunas dari kebinasaan masyarakat feudal belum membasmikan penentangan-penentangan kelas. Ia hanya telah mendirikan kelas-kelas baru, keadaan penindasan baru, bentuk perjuangan baru yang menggantikan bentuk-bentuk lama. Oleh itu, revolusi perjuangan kelas perlu ditegakkan agar hak inidividu dipandang samarata dibawah kesaksamaan, revolusi ini perlu dilakukan untuk menjatuhkan golongan yang menindas dengan apa cara hatta peperangan sekalipun.


Nilai Lebihan Sebagai Pengeksploitasian
Menurut Marx, cara pengeluaran kapitalisme melibatkan dua pemisahan besar. Iaitu pemisahan unit-unit pengeluaran. Dalam erti kata lain, ekonomi kapitalis adalah sistem yang dipisahkan menjadi pengeluar-pengeluar yang asing, bebas, dan bersaing sesama sendiri. Namun sepenting dengan itu adalah pemisahan diantara setiap unit pengeluaran, diantara kapitalis dan tenaga pekerja bergaji. Kadar nilai lebihan adalah nama yang diberikan oleh Marx memberikan kepada nisbah di antara nilai lebihan dan kapital berubah, iaitu kapital yang dilaburkan dalam kuasa tenaga pekerja. Ini mengukur kadar pengekploitasian, dalam erti kata lain, tahap sehingga mana pihak kapitalis berjaya memerah nilai lebihan daripada pekerja
Terdapat dua cara, Marx memperdebatkannya iaitu melalui mana pihak kapitalis dapat meningkatkan kadar nilai lebihan. Pertama adalah serupa bagi kesemua cara pengeluaran dan yang kedua ialah khusus kepada kapitalisme. Ini merupakan nilai lebih mutlak dan relatif. Nilai lebih mutlak diciptakan dengan memanjangkan hari bekerja. Pihak kapitalis telah berusaha untuk melanjutkan hari bekerja, lalu memaksa kanak-kanak berumur sembilan tahun untuk bekerja tiga syif selama 12 jam di lombong-lombong besi. Maka Marx menyatakan golongan kapitalis;

adalah tenaga pekerja mati yang, seperti pontianak, hidup hanya dengan menghisap tenaga pekerja hidup,dan semakin ia hidup, semakin ia menghisap, kedaan ini bertambah buruk apabila pihak kapitalis semakin kejamdengan mengerahkan setiap tenaga kerja sehinggakehabisan punca dan apabila ia bangkit dari kekalahan inipastinya ada satu paradigma bersejarah yang dihasilkan.


Namun terdapat batasan objektif kepada pemanjangan hari bekerja, jika ia terlalu panjang, ia bukan sahaja membawa kemerosotan kuasa tenaga pekerja manusia dengan mencuri keadaan moral dan fizikal biasa perkembangan aktivitinya, bahkan juga menghasilkan keletihan dan kematian awal kuasa tenaga pekerja ini. Maka hal inilah yang menimbulkan percanggahan dalam sistem kapitalis sehingga menimbulkan tentangan daripada kelas pekerja yang menjadi mangsa kepada satu sistem yang tertindas.
Meskipun itu, kapital juga dapat meningkatkan kadar nilai lebihan dengan pengeluaran lebih relatif. Peningkatan dalam produktiviti tenaga pekerja akan membawa kemeroston dalam nilai-nilai komoditi yang dihasilkan olehnya. Jika sesuatu pembaikan teknikal dalam keadaan-keadaan pengeluaran merendahkan harga barangan penguna yang mana para pekerja membeli dengan gaji mereka. Hal ini bererti barangan yang dikeluarkan oleh pihak kapitalis dijual pada harga yang rendah dan untuk mengatasi masalah kos pengeluaran gaji pekerja dibayar dengan kadar yang minima. Jelas hal ini menampakkan, kapitalisme memperkenalkan cara-cara baru untuk meningkatkan kadar pengeksploitasian, dengan memaksa tenaga pekerja untuk bekerja secara lebih cekap dengan cara penindasan.

Organisasi Perdagangan Berorientasikan Kapitalisme
Organisasi perdagangan seperti International Monetary Funds(IMF), World Bank, dan World Trade Organization(WTO) adalah propaganda Amerika Syarikat dalam menliberalkan seluruh dunia. Ini kerana, Amerika Syarikat dan juga sekutunya mempunyai peranan yang besar dalam mengubah tahap ekonomi dunia. Bagaimanapun, perubahan yang dilakukan organisasi ini bukanlah untuk kesenangan negara miskin tetapi untuk memberikan kesenangan kepada negara kaya.
Sekarang ada tiga badan dunia yang bersifat macam polis ekonomi untuk mengawasi ekonomi negara-negara di dunia kini. Selain IMF dan Bank Dunia, kini telah wujud yang ketiga iaitu WTO (World Trade Organisation). Tiga badan ini menjadi pengawas kepada perlaksanaan globalisasi di bidang ekonomi.Negara-negara kapitalis kaya di Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat memang sedang menterjemahkan erti globalisasi mengikut kehendak mereka. Dr Mahathir Mohamad berkata baru-baru ini bahawa Barat tidak adil dalam menterjemahkan globalisasi. "Mereka mentafsirkan globalisasi untuk faedah diri mereka saja, iaitu apabila wujud peluang bagi mereka mencari keuntungan," kata Mahathir dalam persidangan "Bank Pusat dan Pertumbuhan Mapan di Abad Ke-21" anjuran Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur, 29 Ogos lalu. Justeru itu, Barisan Alternatif(BA) mesti mengemukakan pandangan alternatifnya untuk menghadapi isu globalisasi ini yang ternyata mempunyai kesan besar keatas kepentingan nasional ekonomi kita pada masa depan. Jika tidak dihadapi dengan serius, ekonomi Malaysia akan selamanya bergantung kepada negara kapitalis kaya.
WTO yang menjadi agen terpenting bagi globalisasi akan menumpukan keutamaannya untuk mempastikan semua negara di dunia yang menjadi ahlinya supaya meliberalisasikan ekonomi masing-masing. Liberalisasi bagi tafsiran WTO ialah pergerakan bebas modal tanpa sempadan negara. Semua halangan bagi pergerakan modal itu akan dianggap bertentangan dengan peraturan yang dikenakan oleh WTO itu. Kebebasan pergerakan modal itu akan menjadi satu prinsip yang begitu penting bagi WTO sehingga ia mengatasi kepentingan nasional sesebuah negara ahli. Jadi ancaman globalisasi yang mahu menelan dan menyedut sumber kekayaan negara-negara Dunia Ketiga seperti Malaysia ini bukan momokan sahaja. Ia adalah satu hal yang nyata.
Lalu BA mesti tampil ke depan untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia, daripada serangan yang datang dari luar iaitu dari syarikat-syarikat multinasional antarabangsa yang disokong oleh negara-negara kaya kapitalis Barat. Barisan Alternatif perlu memberi perhatian ke atas penjajahan ekonomi dalam bentuk globalisasi. Hal ini penting diberi perhatian terutama dalam keadaan dunia sekarang yang dikuasai oleh Amerika Syarikat.

Perjuangan Golongan Yang Tertindas
Terdapat sebuah proses yang berkembang sejak Perang Dunia Kedua, bermula dengan perjanjian Bretton Woods yang mewujudkan Dana Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia (yang menjadi contoh bagi kuasa ekonomi dunia barat yang datang kemudiannya). Ini membuka pintu bagi pencelahan ke dalam dunia yang membangun, dan ini telah berkembang dengan pesat. Dari aspek yang jahil, Perang Vietnam telah membawa kesan yang dahsyat – perang itu memakan belanja yang banyak, sehingga Amerika Syarikat terpaksa mencetak duit kertas baru untuk membiayainya.
Ini bermaksud bahawa perusahaan-perusahaan gergasi di luar keadaan inflasi ini dapat membangun tanpa kawalan. Kini, kita mempunyai sistem global berintegrasi yang paling luar biasa sejak hujung Perang Dingin pada tahun 1989. Dengan penubuhan WTO, kita sedang berhadapan dengan pihak integrasi, predator dan penyelenggara polisi Amerika Syarikat yang paling zalim di dunia. Sekarang, WTO boleh merangkul keuntungan yang gagal diperolehi oleh Bank Dunia dan IMF. Jika ini dibenarkan berterusan, Perjanjian Umum Perdagangan dan Perkhidmatan (General Agreement on Trade and Services; Gats), iaitu sebuah projek WTO, akan bercampur tangan dalam hal pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam yang lain.
Apa yang dapat dilihat dengan jelas apabila kita berbincang dengan Bank Dunia dan IMF, serta mereka yang mewakili tonggak globalisasi, adalah bahawa mereka berasa takut dengan demonstrasi antikapitalis. Mereka telah mencuba melalui sebuah pengubahan perhubungan awam di mana IMF (yang sebenarnya sebuah badan peminjam duit), sekarang ditransformasikan menjadi sebuah institusi ala Ibu Theresa yang ingin menghapuskan kemiskinan. Bank Dunia telah memainkan lagu ini untuk beberapa tahun sambil melakukan perkara yang bertentangan. Ia telah mengembangkan proses ini sehingga tahap yang begitu melucukan dengan mendakwa bahawa ia kini merupakan sebuah badan pencegah kemiskinan. Kita juga dapat melihat bagaimana institusi predator paling teruk, iaitu WTO, memanggil dirinya sebuah pertubuhan amal. Semua ini adalah reaksi terhadap penentangan global terhadap globalisasi.
Perjuangan anti-kapitalis merupakan pergerakan terbesar menentang sistem sejak Perang Dunia Kedua. Ia sebenarnya bertarung dengan kapitalisme, dan walaupun ini berlaku secara sedikit sebanyak pada tahun 1960-an, saya rasa ini tidak pernah berlaku dengan begitu besar sekali di merata dunia. Di sebuah negara di mana kononnya media massa bebas melaporkan apa sahaja, kita jarang sekali mendengar khabar mengenai gerakan ini.
Tetapi itu bukan sesuatu yang baru. Yang luar biasa adalah fakta bahawa kita mempunyai gerakan di Amerika Latin, Asia, Afrika, dan dunia maju, yang mewakili gerakan asas (yang sebenarnya bermakna tentangan hebat). Fakta bahawa berita ini tidak dihiraukan atau didiamkan menunjukkan betapa takutnya mereka yang berkuasa. Kita dapat melihat reaksi kerajaan dunia barat terhadap tentangan ini dalam cara kerajaan Tony Blair [di Britain] menyerang penunjuk rasa antiglobalisasi pada Hari Pekerja yang lalu. Itu telah membawa kesan yang tidak disangka-sangka, tetapi ia juga menunjukkan rasa takut di antara penyokong projek neoliberalisme.
Peristiwa besar seperti ini tidak pernah melihat begitu ramai penyokong yang berbeza, dan tentangan terhadap kapitalisme global disokongi oleh kesatuan-kesatuan pekerja, pertubuhan bukan kerajaan (non-government organisations; NGO), pemuda-pemudi yang tidak mempunyai afiliasi dengan mana-mana pihak. Ia telah menghasilkan sokongan padu pada tahap asas dan intinya merupakan gerakan kelas pekerja.

Percanggahan Yang Terdapat Dalam Kapitalisme Akan Menghasilkan Peperangan
Kapitalisme dan peperangan mempunyai perhubungan yang rapat. Kapitalisme baru ini telah mengembangkan sebuah perlumbaan senjata sejak ia bermula selepas hujung Perang Dingin. John Molyneux berpendapat bahawa kita sedang mengalami Perang Dingin kedua – ini telah bermula sejak 1989 lagi. Dari pelbagai aspek, perang kedua ini lebih merbahayakan kerana Perang Dingin pertama sebenarnya hanya pertikaian retorik di antara Amerika Syarikat dan Soviet Union, dengan perang sebenarnya diperjuangkan di dunia membangun.
Perlumbaan senjata ini amat merbahayakan kerana ia bukan sahaja diseru oleh kerajaan George W. Bush [di Amerika Syarikat]. Perlumbaan senjata ini dimulakan oleh bapa Bush, dan dipercepatkan oleh Clinton. Sistem Pertahan Peluru Berpandu Kebangsaan (National Missile Defence) sebenarnya bererti cara tentera Amerika Syarikat menguasai angkasa dan mewujudkan keadaan di mana negara-negara lain (seperti Negara Cina dan Rusia) mengejar, dan berakhir dengan pemusnahan ekonomi. Hal ini berkaitan dengan penguasaan angkasa lepas. Jika anda membaca dokumen-dokumen sulit, ia menceritakan bagaimana Amerika Syarikat ingin membahagikan dunia mengikuti garisan ‘mereka yang kuat’ dan ‘mereka yang lemah,’ dan bagaimana Amerika Syarikat ingin menjaga kepentingannya.
Kita belum pasti apa yang dimaksudkan oleh semua ini. Ia mungkin sebuah fantasi yang berselewang, tetapi mungkin juga tidak. Yang pasti, perbelanjaan yang akan diagihkan kepada perusahaan persenjataan Amerika Syarikat untuk membina sistem ini bukannya sebuah fantasi. Ia akan mengubah situasi di merata dunia dan akan menimbulkan perlumbaan senjata mini di merata-rata. Tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa Negara China akan memantapkan sistem persenjataannya. Akibat Perang Teluk dan operasi di Kosovo, Majlis Keselamatan Kebangsaan Rusia telah mengubahsuaikan strateginya: ia sekarang mempertahankan sempadan baratnya dengan senjata nuklear. Ini merupakan masa yang merbahayakan, dan memang terdapat juga perlumbaan senjata bukan nuklear yang sedang berkembang, dengan Britain mengetuai perlumbaan ini.

Penutup
Kesimpulan yang dibuat hasil daripada kajian mengenai teori Marxisme dan sosialisme, satu anjakan paradigma iaitu revolusi golongan sekerja atau komunisme sememangnya wajar. Akibat daripada percanggahan yang terdapat dalam sistem kapitalisme sehinggakan menghimpit golongan proletariat dan terus menyenangkan pihak kapitalis yang sentiasa cuba menghisap tenaga para pekerja ini. Akibat kapitalisme juga, jurang perbezaan ekonomi yang ketara antara golongan kaya dan golongan miskin,perubahan dari sudut sosial tidak berlaku dalam kapitalisme. Disini, tokoh-tokoh dunia menekankan masyarakat yang berkongsi segala sumber yang ada dalam negara dan hubungan sosial antara pekerja dengan majikan dititikberatkan.
Selepas Perang Dingin berakhir, Francis Fukuyama telah menulis buku ‘the end of history’ untuk menyatakan berakhirnya sistem sosialisme. Namun sebenarnya, sosialisme masih belum berakhir dan masih wujud, namun komunisme boleh dianggap telah mati akibat kalah menentang kapitalis. Dunia juga masih belum selamat daripada Perang Dunia III kerana menurut Marx sistem kapitalisme akan runtuh dengan sendirinya apabila berlaku percanggahan. Percanggahan yang dimaksudkan ini ialah persaingan yang wujud dalam ekonomi kapitalisme dan peperangan akan menghancurkan sistem ini.


















Bibliografi
Chairul Anwar, “WTO dan Masalah Penyelesaian Sengketa Dagang”, dalam Sosialis Review, Jilid 17(24).

Summer,C. Reading Ideologies:an investigation into Marxist theory of ideology and law, London: Academic Press Inc.,1979, hlm. 23

Engel, F. “Karl Marx and His Struggle To New Generations”. Jilid 4(8) tarikh akses pada 2 Mac 2006 daripada Socialism and Democracy online: http://www.sdonline.org/28/feature_28_1.htm

Lenin, V.I. Negara dan Revolusi, (terjemahan Anwar Saad), Moscow: Focal Press, 1964.
.
Keynes, John. Keynesian Theory of Economic. London: Master Publisher, 1970.

Parkinson, F. The Philosophy Of International Relations:A study in the history of thought. Beverly Hills: Sage Publications, 1977.


Rehmann, Jen. “The historical-critical dictionary of Marxism:A Noah’s ark of critical thinking”. Jilid 19, 2). tarikh akses pada 2 Mac 2006 daripada Socialism and Democracy online: http://www.sdonline.org/28/feature_28_1.htm.

Smith, Adam. The Wealth of Nation, Boston: Oxford Printing, 1965.

Suhardi Paiman, “Neokomunisme Satu Paradigma: Kapitalisme mengikut selera barat”, dalam Jakarta Post, Jilid 9 (5).

perang vietnam sebuah sorotan sejarah

Sebuah Prolog
Perang Vietnam dilihat seperti kabut yang merbahaya, ia telah meresap masuk ke dalam jiwa rakyat Amerika. Vietnam secara langsung melibatkan pengalaman Amerika yang sebegitu besar dalam sejarahnya. Namun pada mulanya, bukan Amerika yang dilibatkan dalam perang ini, tetapi sebuah kuasa besar Eropah iaitu Perancis yang juga dianggap sebagai sebuah kuasa kolonial utama dunia sebelum dekad-dekad itu. Pada 2 September 1945, Ho Chi Minh telah secara umumnya mendeklarasikan kemerdekaan negara Vietnam. Beliau mengharapkan Amerika memberikan sokongan terhadap kewujudan kerajaan mereka walaupun pada masa yang sama mereka ditunjangi oleh ideologi komunisme. Ho Chi Minh menanam penuh harapan agar Presiden Roosevelt mengotakan janji beliau yang menentang kolonialisme Eropah dan mahukan negara dunia ketiga menentukan nasib mereka sendiri . Namun polisi Amerika ini telah bertukar angin apabila Presiden Truman mengambil alih pemenrintahan Roosevelt yang meninggal dunia, dan Truman membiarkan sahaja Perancis menduduki semula tanah jajahan mereka selepas Perang Dunia Kedua berakhir – termasuklah Vietnam. Maka hasrat Ho Chi Minh ini dikengkang oleh Perancis dan Amerika kerana menganggap nasionalis Vietnam itu sebagai manusia yang berideologikan komunisme. Maka tiada lain yang dilakukan oleh para pejuang Vietnam pada waktu itu, Perancis telah diserang bertubi-tubi oleh Viet Minh. Akhirnya perang yang berlansung selama sembilan tahun itu menyaksikan kuasa Eropah kalah di bumi Asia.
Pada 7 Mei 1954 Jeneral Giap Dien Bien Phu telah mengalahkan Perancis di lembah Dien Bien Phu. Ia adalah kekalahan paling teruk yang diterima oleh kuasa kolonial Perancis itu. Viet Nam Doc Lap Dong Minh Hoi atau Vietnam Independence League (Viet Minh) memenangi perang ini disertakan dengan bantuan yang diberikan oleh China. Peperangan yang melibatkan Perancis dan Viet Minh (secara langsung), China, Jepun, British dan Amerika (secara tidak langsung) dikenali sebagai Perang Indo-China. Akhirnya pada 21 Julai 1954, Geneva Accords – dikenali juga sebagai Geneva Conference – yang diperbincangkan oleh enam buah kuasa unilateral dunia dan juga Viet Minh sendiri telah mempersetujui bahawa Vietnam dibahagikan kepada dua:Vietnam Utara,komunisme dan Vietnam Selatan, liberalisme.

Era Diem (1955-1963)
Vietnam Selatan yang dikuasai oleh Maharaja Bao Dai telah digulingkan oleh Ngo Dinh Diem dan beliau telah menubuhkan Republik Vietnam. Kerajaan Vietnam Selatan itu kemudiannya diketuai oleh Ngo Dinh Diem serta didokong oleh Amerika enggan mengadakan pilihan raya bagi menyatukan semula Vietnam seperti mana yang dipersetujui oleh semasa Geneva Accords – pemisahan Vietnam ini adalah untuk sementara sahaja bagi menunggu keputusan pilihan raya yang akan diadakan pada tahun 1956 untuk memilih seorang ketua negara. Ini kerana mereka sudah merasakan aura Ho Chi Minh akan membawa kekalahan kepada mereka, hampir 80% rakyat vietnam memberikan sokongan kepadanya. Bagi menghalang pilihan raya ini, Diem menyatakan bahawa perjanjian Geneva Accords bukanlah hasil rundingan dengannya tetapi dengan bekas Maharaja Bao Dai, maka Geneva Accords tidak diperakui olehnya dan tidak salah jika kerajaan pimpinannya tidak mengikut perjanjian itu. Diem juga mempersoalkan kemampuan kerajaan Vietnam Utara dalam menguruskan pilihan raya seteleh Ho Chi Minh mengadakan satu kempen melancarkan serangan ke atas kumpulan anti-revolusioner dan pemilik-pemilik tanah .
Akibat daripada itu, pihak komunis Vietnam Utara nyata tidak berpuas hati dengan tindakan Diem ini, mereka merasakan bahawa perjanjian mereka telah dicabuli. Maka persiapan yang dilakukan oleh Viet Cong (VC) semenjak Geneva Accords lagi bagi menghadapi sebarang kemungkinan; telah menyelusup masuk ke Vietnam Selatan bagi menjatuhkan pemerintahan Diem. Bagi mematahkan serangan yang dilakukan oleh VC, Diem telah melakukan kempen mengencam pihak komunis dan juga anasir-anasir komunis. Ho Chi Minh akhirnya melancarkan insurgency terhadap pihak Vietnam Selatan. Pemberontak di Vietnam Selatan ini dikenali sebagai National Liberation Front (Barisan Pembebasan Kebangsaan)-dibiayai oleh VC .
Vietnam Utara banyak menerima bantuan daripada Soviet Union dan China. Namun Amerika gagal menghalang bantuan yang diberikan kepada Vietnam Utara dan National Liberation Front kerana senjata, makanan dan peralatan lain yang dihantar melalui Pelabuhan Haiphong, kemudian melalui jalan darat yang dikenali sebagai laluan Truong Son – tentera Amerika mengelarnya Ho Chi Minh Trail ). Namun laluan ini terletak di antara Kemboja dan Loas, maka ini telah menyukarkan Amerika untuk memutuskan bekalan kerana kawasan tersebut dikuasai oleh Kumpulan Pathet Lao yang dipengaruhi dan dibiayai oleh Vietnam Utara. Manakala Kemboja pula membenarkan Vietnam Utara mengunakan laluan tersebut untuk menghantar bekalan kepada kumpulan pemberontakkan di Vietnam Selatan. Hal ini telah menyukarkan Amerika untuk menyerang apatah lagi menakluki laluan itu.
Vietnam Utara telah melancarkan pmberontakkan secara terbuka menentang kerajaan Diem pada Disember 1960. Pemberontakkan ini dilancarkan oleh National Liberation Front(NLF) - dibiayai oleh Vietnam Utara yang pada masa mengusai sebahagian besar kawasan timur, ini telah memudahkan Vietnam Utara ini membekalkan senjata dan peralatan lain kepada NFL melalui laluan Truong Son .
Pada mulanya Diem dilihat mampu menangani pemberontakkan NFL ini dengan bantuan yang diberikan oleh ketenteraan Amerika. Malah Presiden Kennedy juga menambah lagi pegawai tinggi ketenteraan (Military Assistance Advisory Group) bagi memberi nasihat kepada Vietnam Selatan. Tindakan yang dilakukan oleh Presiden Kennedy ini dilihat sama seperti mana yang dilaksanakan oleh Tentera Bristish di Tanah Melayu semasa peristiwa Darurat. Presiden Kennedy telah menghantar 400 orang tentera Green Beret bagi memberi latihan kepada Tentera Vietnam Selatan. Bagaimanapun, Presiden Perancis, Charles de Gaulle merasakan tindakan Kennedy itu adalah silap, dan ia mengibaratkan seperti masuk ke dalam perangkap samar. Kata-kata de Gaulle kepada kennedy;
"I predict you will sink step by step into a bottomless quagmire, however much you spend in men and money".
Akhirnya pembuat dasar Amerika mula merasakan Diem tidak mampu mengawal perebakan pemberontakkan. Malah Amerika mulai bimbang jika Diem melakukan pakatan dengan Ho Chi Minh. Presiden Kennedy semakin kecewa dengan cara pentadbiran Diem yang semakin banyak melakukan penyalahgunaan kuasa. Diem telah melakukan korupsi, nepotisme, dan kemuncak kejatuhan kuasanya apabila beliau melakukan kekejaman ke atas kumpulan sami Buddha . Akibatnya tercetusnya peristiwa membakar diri hidup-hidup oleh Thiac Quang Duc dan ia mendapat liputan meluas media antarabangsa. Manakala Vietnam Utara pula mengambil kesempatan dengan menyebarkan propaganda dan telah membangkitkan kemarahan rakyat berfahaman Buddha. Hal ini telah menimbulkan kekacauan sosial yang serius di Vietnam pada waktu itu. Maka Amerika merasakan bantuan dan pelaburan yang dicurahkan kepada Diem adalah sesuatu yang sia-sia.