Thursday, August 2, 2007

Hedonisme, Kapitalisme, Neokolonialisme Menghantui Kita

BULAN lalu, ribuan orang menangis lagi. Semuanya gara-gara pertandingan akhir Akademi Fantasia musim kelima (AF5). Ada yang sedih apabila calon idola mereka tewas dan mungkin juga gembira bila pilihan mereka menang. Kadang-kadang kita dapat menyimpulkan terlalu mudah untuk menumpahkan air mata seseorang. Cukup dengan memutarkan sebuah filem, mendeklamasi sebuah sajak atau mendendangkan sebuah lagu. Kita tidak pernah tahu berapa ramai penonton menangis selepas menyaksikan persembahan realiti televisyen seperti AF sejak pertama kali diadakan lima tahun lalu. Menangis adalah bahasa yang terlalu sukar difahami. Orang akan menitiskan air mata untuk sebuah kegembiraan. Dan, orang juga menangis bagi menyatakan kesedihan atau kekecewaan. “Manusia sebenarnya dapat dikendalikan oleh keadaan-keadaan objektif di sekeliling yang akan mempengaruhi emosinya,” tulis pemikir Herbert Marcuse dalam bukunya One Dimensional Man. Memang pendapat beliau dalam buku itu terlihat pesimistik dan cenderung deterministik iaitu mengutarakan manusia sebagai makhluk sosial yang lemah. Namun, dalam konteks AF5 dan pelbagai program realiti televisyen di Malaysia, pendapat Marcuse mungkin benar. Kita adalah makhluk sosial yang mudah dipengaruhi dan dimanipulasi oleh media serta persekitaran. Masyarakat (majoriti orang Melayu) kita sebenarnya telah menjadi sebuah komoditi dalam hedonisme televisyen. Kita ghairah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengundi tanpa disedari kita merupakan objek komersial yang diperdagangkan untuk keuntungan. Dalam suatu analisisnya yang cukup menarik, Jurgen Habermas menyimpulkan tentang pembentukan identiti manusia dalam entiti global. Beliau melihat bahawa usaha-usaha manusia dalam membentuk jati dirinya sangat dipengaruhi oleh ideologi agama atau oleh Hans-Geog Gadamer dikatakan kesan daripada globalisasi. Habermas turut merumuskan krisis manusia global hari ini juga berkaitan dengan kapitalisme-neoliberalisme yang akan ‘menyeret’ mereka untuk mengadaptasi realiti yang berada di luar ke dalam diri mereka. Dengan kata lain, apa yang ada di dunia global dimasukkan dalam dunia tempatan dan sebaliknya akibat kewujudan dunia tanpa sempadan serta kecanggihan teknologi. Di Perancis, Jacques Derrida pula melihat konsep timbal balik tersebut dengan lebih terperinci iaitu indentiti yang berlawanan; Barat-Timur atau Islam-bukan Islam. Analisis ini kemudian dikembangkan lebih jauh oleh Gayatri Spivak. Dalam eseinya, Can the Subaltern Speak? (1988) beliau berpendapat bahawa kekuatan neoliberalisme yang menyebabkan bercambahnya rangkaian restoran McDonald atau wacana filem menjadi tertumpu di Hollywood. Dalam wacana globalisme, jika mengambil pendapat Habermas, ia memerlukan sikap kritis dalam melakukan transformasi dari satu nilai ke nilai yang lainnya. Pandangan itu kemudian dikembangkan lebih terperinci oleh pengkritik-pengkritik poskolonial dari berbagai belahan dunia yang lain. Di Jerman sendiri muncul beberapa nama pengkritik poskolonial mutakhir seperti Klaus Stierstorfer dan Laurenz Volkmann yang menekankan pentingnya keupayaan kritikan dalam kurikulum pendidikan multibudaya. AF dan semua program televisyen realiti yang menjadi pujaan masyarakat kita hari ini adalah sebahagian daripada neoliberalisme. Media yang menjadi medium antara kelompok kapitalisme dan masyarakat dimanipulasi untuk memperluaskan cengkaman mereka bagi meraih keuntungan atau neokolonialisme jika meminjam istilah Alvin Toffler dalam bukunya Powershift: Knowledge, Wealth and Violence at the Edge of the 21st Century (1990). AF pada berasal daripada sebuah program televisyen realiti di Mexico. Begitu juga Malaysian Idol yang diadaptasi daripada American Idol. Setiap generasi nampaknya mempunyai zaman dan produknya tersendiri. Hari ini banyak produk zaman seperti Gucci, Louis Vuitton, Armani, Prada, Dunhill, Zegna, Ferragamo, Tiffany & Co, Tuleh, Mulberry, Issey Miyake, Kate Spade, Escada, Cartier, Fendi, Chanel, Diesel, Chloe, Hermes, Coach, Polo dan Ralph Lauren. Program realiti televisen yang sering ‘menumpahkan air mata’ penonton-penonton kita hari ini juga merupakan sebahagian daripada produk zaman dan strategi yang dibawa oleh neoliberalisme-kapitalisme. Tetapi kerana kita tenggelam dalam hedonisme yang didedahkan dengan bermacam-macam keasyikan, makna sebenar di sebalik program-program tersebut diabaikan. Percaya atau tidak, segelintir daripada kita menghabiskan puluhan hingga ribuan ringgit semata-mata untuk mengundi calon pilihan mereka tanpa disedari kita sedang dimanipulasi oleh neoliberalisme. Agak aneh, hedonisme terhadap program televisyen realiti itu hanya ‘melanda’ masyarakat Melayu yang sanggup bergolok-bergadai untuk mengundi anak, saudara atau calon yang mereka pilih. Kaum lain? Mereka lebih senang mengumpul wang bagi tujuan pendidikan tinggi dan masa depan anak-anak mereka. Bukannya sanggup berhutang bagi memastikan anak mereka menjadi penyanyi. Adakah orang Melayu sedang menghadapi sebuah tragedi atau teperangkap dalam budaya konsumerisme yang diciptakan oleh kapitalisme-neoliberalisme?

Perlukah Kekerasan Dalam Sebuah Sinema

Perlukah Kekerasan Dalam Sebuah Sinema?
Kekerasan adalah antara elemen dalam filem yang sering menimbulkan debat tentang keperluan dan eksploitasinya. Filem dan kekerasan (violence) sebenarnya mempunyai hubungan yang sungguh rapat dan istimewa. Sejak awal sejarah filem, kekerasan telah menjadi sebahagian imej dan subjeknya. Adegan akhir filem The Great Train Robbery (1903) arahan Edwin S. Porter, yang menunjukkan seorang penjahat mengacukan pistol kearah kamera telah memulakan hubungan filem dengan kekerasan.

Sebenarnya kekerasan telah menjadi sebahagian tema dalam penghasilan estetika. Ia telah menjadi sebahagian tindakan kreatif. Tidak mungkin elemen kekerasan dapat dinafikan kerana kekerasan adalah elemen yang membentuk materi ke dalam bentuknya. Kekerasan bersifat penyahmampatan (decompression), timbul dari ketegangan antara individu dengan dunianya. Ia meledak apabila ketegangan itu sampai ke puncaknya. Ia perlu berlaku sebelum ketenangan atau kedamaian mengambil tempat. Sebab itu setiap kerja seni akan mengandungi unsur kekerasan atau sekurang-kurangnya menuntut unsur tersebut jika karya seni itu mahu menenangkannya melalui konflik. Struktur plot dan perwatakan tidak akan menjadi satu aliran yang dinamik tanpa adanya elemen kekerasan.

Filem adalah karya seni yang paling sesuai dengan kekerasan, kerana kekerasan berlaku akibat tindakan manusia. Jika karya seni lainnya hanya mampu merangsang atau menggerakkan unsur kekerasan, filem sebaliknya melalui keupayaan kamera akan menangkap atau merakamkan momen aksi kekerasan itu berlaku secara natural. Bagi seorang pengarah, kekerasan adalah sebahagian unsur keindahan untuk menghasilkan mise-en scene. Seorang hero yang hebat atau gagah yang mewakili kesempurnaan seorang lelaki akan akhirnya perlu berdepan dengan konflik yang menuntut dirinya menggunakan kekerasan untuk mencapai matlamat keadilan. Ia adalah tindakan yang alamiah. Bayangkan filem Hang Jebat (Hussein Haniff) tanpa adegan pertikaman antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Adegan yang dikoreografi dengan begitu cantik oleh Mahmud June menjadi unsur terpenting dan karakter utama filem ini. Hussein Haniff menjadikan kekerasan sebagai karakternya yang utama dalam filem yang begitu dekat padanya iaitu Dua Pendekar. Adegan pertempuran dan tembakan dalam adegan akhir filem The Wild Bunch (Sam Peckimpah), dengan unsur gerak perlahan dan komposisi telah menjadikan filem tersebut klasik bagi sejarah filem barat. Begitu juga adegan yang begitu keras dan mual dalam filem The Deer Hunter (Michael Cimino) merupakan elemen yang ditonjolkan oleh filem ini.

Bagaimanapun kekerasan dan keganasan dalam filem mempunyai tahap dan lapisan-lapisan yang berbeza. Filem Orson Welles memberikan unsur kekerasan yang berbeza dengan filem arahan Elia Kazan. Seperti yang ditunjukkan dalam Citizen Kane, kekerasan atau keganasannya lebih jujur, malah bersifat autobiografikal. Manakala ekspresi kekerasan dalam filem-filem arahan Luis Bunuel bersifat idea. Nicholas Ray pula memberikan imej keganasan yang lebih menyeluruh, lebih sensual dan lebih semulajadi. Bagaimanapun, elemen kekerasan dalam filem-filemnya adalah berasaskan keperluan lebih dari sekadar untuk membunuh. Manakala unsur kekerasan dalam filem The Battleship Potemkin (S. Eisenstein) bukan sahaja menjadi elemen terpenting tetapi juga sumber kepada pembentukan konsep montajnya.

Usaha untuk memberikan definasi kekerasan juga agak sukar dan kompleks kerana ia melibatkan proses budaya. Mungkin sebahagian tindakan dan perlakuan ditakrifkan sebagai ganas dan keras oleh sesuatu bangsa tetapi, tidak oleh kaum yang lain berdasarkan budaya dan sosial. Kesan kekerasan adalah bersifat psikologikal, fizikal dan sosiologikal. Lebih sukar sebenarnya untuk mengkelaskan kekerasan dalam filem-filem arus perdana Hollywood. Filem klasik Hollywood memberikan naratif yang jelas yang memfokuskan kepada seorang protagonis, secara psikologi jelas dan terarah motivasinya, melalui konflik dan akhirnya membuat peleraian permasalahannya. Tetapi perkembangan filem kontemporari Hollywood 1990-an telah membawa dimensi baru erti dan bentuk kekerasan. Filem-filem arahan Oliver Stone, Quentin Tarantino dan John Woo telah meletakkan kekerasan dalam karakternya tersendiri. Hasilnya kekerasan telah mengheret kontroversi baru dan juga menuntut kajian tentang representasi kekerasan di filem dari pelbagai disiplin ilmu. Kekerasan dalam filem memerlukan pemahaman baru tentang hubungan dan keperluannya, aspek yang dahulunya lebih banyak ditumpukan kepada seksualiti.

Kekerasan atau keganasan dalam filem adalah dalam konteksnya, memberikan bentuk keindahannya yang tersendiri, sebagai iluminasi laluan si hero, manifestasi kekuasaan dan kehormatannya, malah satu bentuk cabaran. Bentuk kekerasan begini tidak membawa makna yang buruk tetapi ia adalah laluan kepada kemenangan yang bererti.

Kesan dari kekerasan peperangan, merangsang manusia untuk terus hidup, sebagai kesedaran pada pergelutan antara manusia dengan elemennya, antara manusia dengan manusia dan merangsang kemahuan untuk terus menang. Elemen ini semua menjadi sumber konflik dan adventure sesebuah filem dan juga untuk memastikan filem itu dalam tahap epik atau sekadar tragedi.

Jadi, adakah kekerasan atau keganasan menjadi elemen yang perlu dan penting dalam filem? Ia terletak kepada bagaimana elemen tersebut dimanfaatkan. Kerana selagi filem tentang manusia, elemen kekerasan tidak mungkin dapat dipisahkan.

Filem dan Sejarah:satu paradoks

Dapatkah filem menjadi saksi kepada sejarah? Mungkinkah sejarah dapat dirakamkan semula dalam filem atau watak-watak sejarah dimunculkan semula dalam filem?

Debat tentang sejauh mana filem dapat mewakili sejarah adalah debat yang sememangnya menarik perhatian dan telah membawa pelbagai hujahan yang membincangkan dua disiplin yang saling bersilang ini. Sejauhmana tepat dan benarnya apabila peristiwa atau tokoh sejarah difilemkan telah menjadi perbincangan hebat di kalangan teoris sejarah dan filem.

Apakah filem Bukit Kepong (1982) arahan Jins Shamsuddin dapat diterima sebagai fakta sejarah?

Begitu juga, apakah gambaran Hang Tuah lakonan P.Ramlee dalam filem Hang Tuah (1956) arahan Phani Majumdar dapat diterima sebagai gambaran yang benar? Jika begitu bagaimana dengan filem Hang Jebat (1961) arahan Hussein Haniff yang telah memberikan gambaran berbeza?

Para sarjana di bidang sains sosial telah sekian lama bersikap skeptikal terhadap filem (sinema). Sungguhpun filem alat yang berguna di bidang etnografi, tetapi sifat filem yang membenarkan fragmentasi kerana adanya suntingan menyebabkan ia lebih diasosiasikan dengan karya fiksyen. Bagi antropologis yang bersifat tegal dengan bidang mereka, hanya fakta dari tulisan dapat diterima secara saintifik. Tetapi apakah dengan skeptipisma ini menyebabkan filem atau dalam konteks ini filem sejarah perlu dipinggirkan dan ditolak begitu sahaja?

Sejak sekian lama mitos menemui kehidupannya dalam filem setelah ditolak ketepi oleh sejarawan. Malah hari ini peristiwa besar sejarah turut mengambil senario yang sama, dihidupkan semula dalam filem secara lebih besar dan kolossal. Sebagaimana banyak sejarawan, sarjana Peranchis Francois de la Bretheque turut berkongsi skeptikal, baginya hubungan antara fragmen filem dan realiti masa lalu tidak pernah bersifat langsung kerana sifat filem yang selalunya dikatakan menyelewengkan kebenaran. Mise en scene dalam filem lebih berminat dalam rupa produksi filem daripada mementingkan ketepatan sejarah. Lebih-lebih lagi filem sejarah jarang menghadkan kepada apa diketahui, tetapi akan cuba mengisi ruang-ruang kosong (ruang kelabu) atau lohong sesebuah sejarah dengan dialog-dialog yang tidak didokumentasikan, peristiwa yang diimaginasi dan keterangan yang tidak autentik.

Kata Bretheque lagi, filem akan mencipta adegan yang besar dan spektakular dan pada masa yang sama mencipta adegan dekat (close-up) dua atau tiga watak untuk memberikan kesan psikologi, dan cara ini telah menjadikan sejarah sebagai protagonis fiksyen. Mengapa ahli sejarah professional mempunyai sikap kritikal terhadap filem sebagai saksi sejarah dapat difaham.

Filem-filem komersial secara khususnya tidak dapat mengambarkan secara lebih bermakna ke atas sesuatu zaman sejarah itu kerana sifat filem komersial itu sendiri: eskapisme dan membenarkan penonton membuat tafsiran berdasarkan representasi yang dibayangkan.

Contohnya filem-filem muzikal dan komedi tentang era kemerosotan ekonomi, para sejarawan tidak dapat melihat hubungan bermakna antara representasi filemik dan konteks semasanya. Bagaimanakah filem Battleship of Potemkin (S. Eisenstein) dan Young Mr. Lincoln (John Ford) untuk dilihat hubungannya dengan sejarah sebenar sedangkan filem itu sudah dimanipulasi atas kepentingan dramatik dan ideologi.

Tetapi bukan semua sarjana sependapat. Sebahagian sejarawan Amerika dan Eropah tetap melihat adanya ruang dalam filem yang perlu dimanfaatkan jika kita faham bahawa filem sejarah adalah genre yang cukup fiskyenal dan cuba tidak melihat filem sebagai alat representasi sejarah secara total. Kata mereka walaupun filem bukanlah instrumen untuk mewakili zaman lalu tetapi ia secara pasif boleh menjadi saksi kepada zaman sejarah tersebut dihasilkan seperti mana dilakukan oleh medium produksi budaya yang lain. Sejarawan Peranchis Marc Ferro umpamanya telah melihat pendekatan positif terhadap filem.

Filem dengan `realiti novel’nya yang dianggap menyelewengkan fakta sejarah masa lalu perlu dilihat keperluannya dalam konteks masakini. Bagi Ferro semua persoalan sejarah yang diangkat oleh filem adalah bersifat fiksyenal yang dikuasai oleh estetika dan nilai dramatik, sedangkan sejarawan mementingkan kronologi secara tepat dan tokoh-tokoh sejarah yang berkaitan sahaja dan atas sebab itu sejarah tidak terikat dengan peraturan melodrama atau tragedi. Bagi Ferro, filem sejarah boleh menjadi sumber maklumat yang kaya tentang zaman ia dibuat atau dalam konteks semasa dokumentasi sejarahnya menjadi arkib yang penting. Filem tidak memasuki mental sejarawan atas sifat sejarah itu juga, sejarah selalunya dilihat dari sudut pihak yang berkuasa, sama ada dia seorang putera raja, pemerintah, kelas sosial dan sebuah bangsa. Dan atas sebab itu sejarah selalunya menjadi wacana politik. Disebabkan imej-imej dalam filem tidak bersifat langsung seperti bahasa, maka itu imej filem tidak menjadi instrumen pihak berkuasa.

Biarpun filem tidak membawakan `kebenaran’ sejarah, tetapi sejarah turut dirosakkan dalam teori pasca-moden yang akan melihat dan menganalisa sejarah daripada beberapa sudut yang berbeza. Sejarah selalunya bermasalah dan tidak lengkap yang menyebabkan ia sentiasa dikonstruksi dan ditambah.

Sejarah sebagai mewakili masa lalu kepunyaan semua orang tetapi bukan hak seseorang yang bersifat universal, aktiviti intelektual dan tidak bersifat keagamaan memerlukan wacana kritis dan analitikal. Dalam konteks ini sejarah masa lalu juga berbeza dengan memori yang merupakan fenomena emosi yang berasaskan ingatan dan boleh dimanipulasi untuk penyesuaian kerana ia bersifat fenomena masa kini.

Sebab itu membawa peristiwa sejarah ke filem adalah adaptasi yang sukar, sesukar mengadaptasi novel ke filem. Tetapi peristiwa sejarah adalah sumber utama dan penting bagi filem. Persoalan yang penting sejauh mana penonton dapat membezakan fiksyen dan fakta sejarah. Malah persoalan yang utama dalam mengangkat peristiwa sejarah ke filem adalah ketepatan pembinaan watak tokoh sejarah. Maksud tokoh sejarah adalah berbeza dengan maksud watak sebagai orang yang diimaginasikan dalam karya fiksyen. Napoleon, Gandhi, Patton dan malah Jesus telah dilakonkan wataknya dalam filem. Soalnya sejauhmana pelakon dapat meyakinkan dan menjadi stand-in dalam lakonannya yang bersifat semasa untuk peranan seseorang yang berlaku pada masa lalu?

Tetapi jangan biarkan kemelut permasalahan dan perbezaan tafsiran ini menjadikan kita negatif untuk membawakan peristiwa dan tokoh-tokoh penting sejarah tempatan ke filem. Shuhaimi Baba akan membawakan tokoh-tokoh penting kemerdekaan tanah air seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abd. Razak, Tan Cheng Lock dan ramai lagi dalam filemnya, 1957 yang akan merayakan 50 tahun kemerdekaan negara ini. Begitu juga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan turut memunculkan tokoh-tokoh penting ini dalam drama besarnya sebanyak 13 episod yang akan diadaptasi daripada novel besarnya Lepaskan Kembali Aku Ke Laut yang akan ditayangkan pada perayaan kemerdekaan nanti. Malah banyak lagi peristiwa sejarah yang boleh memperkayakan lagi filem kita, perlu diangkat dan diadaptasi ke filem.

Mungkin kronologi sejarah adalah berbeza dalam fragmen dramatik adaptasi sejarah tersebut ke filem dan watak-watak yang mewakili tokoh sejarah tersebut adalah stand-in kepada tokoh yang menjadi pelaku dalam zaman yang diangkat, tetapi filem dan drama ini harus dilihat sebagai sumber yang memperkayakan lagi koleksi kehidupan masyarakat negara ini.

Tuesday, May 22, 2007

Naik Gaji Untuk Rakyat atau Politik??????

Kenaikan gaji kakitangan kerajaan telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Badawi pada 21 Mei 2007. Ia adalah satu berita yang mengembirakan buat seluruh warga sektor awam. Malah di dalam akhbar dan media di negara ini melaporkan ia adalah sebagai yang "terbaik" dalam sejarah pemenrintah tanah air. Namun dalam kegembiraan menerima berita kenaikan gaji, sebenarnya rakyat sudah lebih dua minggu menghadapi krisis harga bekalan keperluan yang turut dinaikan. Namun yang menjadi persoalan utama, mengapa dengan setibanya kenaikan gaji harga barang juga naik? Harga barangan kawalan juga meningkat dan ini secara tidak langsung telah menyebabkan harga makanan naik. Jika ditanya peniaga, peniaga akan menyalahkan orang tengah yang menaikan harga sesuka hati mereka. Jika ditanya orang tengah pula dijawabnya pengilang yang membekalkan mereka dengan harga yang mahal. Jika ditanya pengilang, mungkin mudah jawapanya, tanya sama penguna kalau mereka mahu bayar sahaja pada harga yang tinggi. Tepuk dada tanya selera. Akibat kenaikan harga barangan ini telah menyebabkan ramai ketua-ketua rumah pening kepala memikirkan bagaimana untuk menguruskan wang. Jika difikirkan semula. Adalah tidak logik jika tepung gandum naik 15 sen satu kilo kemudian pembuat roti canai menaikkan 10 hingg 20 sen setiap satu. Sedang alternatif lain boleh digunakan seperti mengecil saiz roti canai. Tetapi lain pula yang berlaku, roti canai makin mengecil harga makin memahal. Kita sebagai penguna perlulah mengunakan kuasa sebagai penguna. Costumer Right!. Sepatutnya kita bersama-sama memboikot para pekedai yang menaikan harga sesuka rasa mereka. Beli pembeli tidak ada maka harga secara tidak langsung akan murah (jika dilihat dari segi rasional).

Namun, jika kita lihat daripada agenda politik. Sebenarnya amatlah bertuah bagi Barisan Nasional kerana mereka boleh menentukan bilakah masa yang sesuai gaji dinaikkan. Ada pendapat yang mengatakan itu adalah agenda politik BN bagi meraih undi rakyat pada pilihan raya hadapan. Malah, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat bertanya mengapa gaji ini dinaikkan dekat dengan pilihan raya sedangkan harga minyak sudah lama dinaikkan. Maka bilakah kita boleh naikkan gaji Tuan Guru? Kenaikan gaji memerlukan kajian yang mendalam, semakan yang teliti perlu dibuat. Menurut Shamsudin Bardan, pengarah MEF sendiri pun berfikir panjang untuk menaikan gaji kerana ia boleh menyebabkan syarikat lingkup. Cuba fikirkan sejenak, adakah keputusan untuk menaikan gaji boleh dibuat dalam masa seminggu atau sebulan?. Bayangkan, bagaimanakah untuk memberikan kenaikan dari 7.5% hingga 35% kepada 1,002,040 kakitangan awam dan 557,033 orang pesara dengan kajian yang pendek negara kita pun boleh lingkup. Ini kerana perbelanjaan keseluruhan melibatkan angka bernilai RM6.8 billion setahun. Satu nilai yang cukup besar. Keadaan ini juga telah mengambarkan bahawa ekonomi negara kita menjelang 50 kemerdekaan sudah mencapai tahap yang lebih baik. Jika tidak mahukan pemimpin kita naikkan gaji 1.2 juta orang. Malah jika dilihat kini, gaji sektor awam juga semakin baik dari swasta kerana gaji pokok yang terendah Gred N1 ialah RM649.15 sebulan berbanding dengan sektor swasta terutamanya pkerja kilang yang masih mendapat sekitar RM500 sebulan sedangkan tenaga yang banyak diperah oleh majikan. Mungkin benar kapitalis itu menindas.

Kenaikan gaji telah menimbulkan pelbagai desas desus daripada pihak pembangkang. Sedangkan ada disetengah mereka yang turut menerima kenaikan itu. Negaraku memang demokrasi.hehehe. Barisan alternatif telah mengemukan pelbagai teori mengenai kenaikan gaji ini. Namun apa yang pasti kenaikan gaji telah memberi satu "hadiah" kepada kakitangan yang berkhidmat dalam kerajaan. Diharapkan kakitangan kerajaan mampu mengurangkan karenah birokrasi bersesuai dengan permintaan PM agar para pekerjanya melakukan satu perkhidmatan yang lebih baik. Sesuai dengan gaji yang lebih baik, kakitangan kerajaan perlu melakukan "revolusi perkhidmatan" secara besar-besaran. Taniah diucapkan kepada kerajaan Malaysia kerana mampu menaikkan gaji para kakitangan yang hampir 12 tahun tidak disemak kenaikan gaji. Namun, sedar atau tidak pihak BN tidak boleh mengunakan isu kenaikan gaji bagi meraih undi. Kerana ia seolah-olah satu demokrasi yang tidak adil. Apa yang tidak ada pada pihak pembangkang tidak boleh digunakan oleh kerajaan kerana itulah yang digelar demokrasi jahat. Politik kotor tidak boleh digunakan dalam kesucian demokrasi.

Friday, May 18, 2007

Amerika Bercendarawara di Kepulauan Melayu

Runtuhan bagunan WTC telah menjadi batu asas kepada pentadbiran Pentagon secara tiba-tiba memandang semula ke arah rantau Asia Tenggara setelah sekian lama mereka sisihkan rantau ini daripada dasar-dasar mereka dan menganggap rantau ini sebahagian daripada "rogue nation". Rantau ini sebenarnya telah dipinggirkan oleh pentadbiran AS di Washington D.C semenjak berakhir era Perang Dingin pada tahun 1990-an. Hal ini kerana AS menganggap rantau Asia Tenggara tidak lagi sebagai kawasan yang penting terhadap strategi keselamatan negaranya selepas berakhir era Perang Dingin dengan keruntuhan empayar komunis Kesatuan Soviet. AS seolah-olah bersenang-senangan merasakan mereka tidak lagi mempunyai pesaing dalam mendominasi politik antarabangsa. Lebih kurang sepuluh tahun AS bergembira dengan keamanan tanpa kekacauan walaupun dalam tempoh itu AS terutama anak beranak Bush telah banyak campur tangan dalam negara lain sehingga mencetuskan keadaan yang tidak baik kepada negara lain. Namun, kegembiraan yang dikecapi oleh AS tidak lama selepas bangunan WTC telah diryuntuhkan oleh penganas pasca moden. Sepertimana yang didakwa oleh AS sedangkan sehingga hari ini tidak terdapat bukti yang menunjukkan ada individu atau kumpulan yang melancarkan serangan itu dan jika memang benar al-qaeda sebenarnya wujud dimanakah al-qaeda?. Adalah tidak logik bagi CIA dan FBI malah Interpol sendiri gagal mengesan Osama Bin Laden. Bukankah CIA dan FBI adalah perisik terbaik dunia dengan memiliki teknologi satelit dan teknik-teknik perisikan terbaik dunia. Ini seolah-olah siuasi yang dicipta sendiri oleh AS agar mereka boleh melancarkan polisi counter-terrorist mereka ke seluruh dunia.

Perubahan sikap AS terhadap rantau Asia Tenggara pasca 11 September adalah disebabkan oleh kempen memerangi keganasan antarabangsa yang telah dipersepsikan oleh AS sebagai ancaman utama terhadap keselamatannya dan keselamatan antarabangsa. Rantau Asia Tenggara dianggap kawasan yang penting dalam usaha untuk menghapuskan ancaman keganasan antarabangsa selepas tragedi 11 September. Ini kerana kempen AS memerangi kumpulan pengganas antarabangsa yang dikaitkan dengan rangkaian global kumpulan militan Islam Al-Qaeda dilihat mempunyai kaitan dengan populasi Muslim yang majoriti di rantau ini.

Faktor utama yang mendorong AS memberikan perhatian yang serius terhadap rantau Asia Tenggara adalah kewujudan masyarakat Islam yang majoriti di rantau ini terutamanya di negara-negara yang terletak dibahagian kepulauan. Penduduk Islam di rantau Asia Tenggara dianggarkan berjumlah 280 juta orang. Selain itu, rantau Asia Tenggara juga merupakan rumah kediaman bagi masyarakat Islam terbesar di dunia yang tertumpu di Indonesia(Gershman 2002). Faktor kedua penting, mendorong AS menumpu perhatian terhadap rantau Asia Tenggara selepas peristiwa 11 September adalah kewujudan kumpulan-kumpulan militan Islam tempatan yang beroperasi di rantau ini. Hasil daripada maklumat agensi perisikannya iaitu CIA dan FBI, AS mendapati bahawa kewujudan kumpulan-kumpulan militan Islam tempatan di rantau Asia Tenggara mempunyai hubung kait yang rapat dengan Perang Afghan pada tahun 1980an(Abuza 2003).

Antara kumpulan-kumpulan militan Islam yang wujud dan beroperasi di rantau Asia Tenggara adalah Laskar Jihad, Front Pembela Islam(FPI), Jemaah Islamiyah(JI), dan Kumpulan Mujahidin Malaysia atau KMM(Daljit Singh 2002:16-18). Pada masa yang sama, kumpulan-kumpulan militan Islam ini turut mempunyai hubungan dengan rangkaian antarabangsa Al-Qaeda melalui beberapa saluran(Abuza 2003). Selain kumpulan-kumpulan militan Islam tempatan, kumpulan-kumpulan pemisah Islam di kepulauan Mindanao Selatan Filipina iaitu MILF [3]dan Abu Sayyaf juga mempunyai kaitan dengan rangkaian antarabangsa Al-Qaeda(Simon 2002). Kedua-dua kumpulan pemisah Islam ini bersama-sama dengan MNLF mempunyai matlamat yang sama iaitu memperjuangkan kemerdekaan dan pemisahan wilayah Mindanao daripada negara Filipina. Mereka juga becita-cita untuk mewujudkan corak pemerintahan Islam di wilayah Mindanao(Gunaratna 2003).

AS juga mendapati, hasil daripada pengaruh Al-Qaeda kumpulan-kumpulan militan dan pemisah Islam di rantau Asia Tenggara bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara Islam yang besar di rantau Asia Tenggara yang dikenali “Pan Islamic Nation” dengan menggunakan pendekatan kekerasan dan kaedah-kaedah keganasan untuk mencapai cita-cita tersebut(Rosemary 2003). Kumpulan-kumpulan Jemaah Islamiyah, Abu Sayyaf, MILF, dan KMM dipercayai ingin menyatukan negara Malaysia, Indonesia, Selatan Thailand, Selatan Filipina, Singapura serta Brunei menjadi sebuah gabungan entiti politik negara Islam yang besar dan menggunakan sistem perundangan Islam iaitu Syariah sebagai asas pemerintahan(Gershman 2002).

Selain itu daripada maklumat agensi perisikannya, AS mengetahui bahawa sebelum berlaku tragedi 11 September dua orang daripada pengganas yang terlibat dalam peristiwa tersebut iaitu Zaccarias Moussaoi dan Mohamad Atta telah melawat Kuala Lumpur di Malaysia dan berbincang mengenai rancangan mereka untuk melakukan serangan terhadap AS pada 11 September 2001(Capie&Acharya 2003). AS juga melihat kumpulan-kumpulan militan dan pemisah Islam di rantau Asia Tenggara telah menjadikan warganegara dan kepentingannya di rantau Asia Tenggara sebagai sasaran tindakan keganasan mereka.

Kumpulan Abu Sayyaf, di Selatan Filipina telah menahan tiga orang tebusan warganegara AS dan telah memenggal kepala salah seorang daripada mereka. Pada tahun 2002, kumpulan militan Islam telah meletupkan sebuah kelab malam di Bali Indonesia yang mengakibatkan kematian beberapa ratus orang pelancong barat. Seterusnya pada tahun 2003, hotel J.W.Marriot milik rakyat AS di Jakarta telah dibom oleh kumpulan militan Islam(Ibid: 8-9). Kelemahan dan kegagalan, pihak berkuasa negara-negara di rantau Asia Tenggara untuk menangani aktiviti-aktiviti keganasan di dalam wilayah mereka juga merupakan faktor penting yang mendorong AS untuk memberi perhatian yang serius terhadap rantau Asia Tenggara selepas peristiwa 11 September.

Melihat kepada fakta-fakta tersebut, pentadbiran AS telah menilai dan mengkaji semula kepentingan rantau Asia Tenggara dalam dasar luarnya. Rantau Asia Tenggara dilihat mempunyai kedudukan geo-strategik dan penting dalam menjayakan kempen memerangi keganasan antarabangsa. Rantau Asia Tenggara telah mendapat keutamaan yang penting dari AS selepas peristiwa 11 September.

kaki masam.

Pembangunan Untuk Pengganas

Pengganasan sentiasa disalahertikan, dipropagandakan dan segala macam bagi menjatuhkan individu atau kumpulan yang mempuyai motif dan perjuangan politik tertentu. Sebenarnya istilah pengganas adalah amat konotasi dan subjektif. Ia adalah satu falsafah yang sukar diungkap hanya dengan kata-kata dan perkataan bertulis. Menurut seorang ahli strategis, Walter Laquer, pengganasan adalah berpunca daripada segolongan minoriti yang dipinggirkan dan disisih daripada pentadbiran negara. Hal ini secara langsung telah menyebabkan golongan minoriti ini bertindak menyuarakan hak mereka. Namun, apabila hak yang disuarakan itu dipandang enteng oleh pihak kerajaan maka golongan ini mula bertindak secara revolusioner dengan melakukan pemberontakkan secara kecil-kecilan. Apabila mereka telah berjaya mendudukki satu kawasan yang mana kebiasaannya adalah kampung atau daerah mereka sendiri. Maka setelah mereka akan cuba mendapatkan satu kekuasaan politik yang lebih besar. Apabila golongan minoriti ini melancarkan revolusioner, inilah yang dipanggil pengganas. Akan tetapi pengganasan ini dikenali sebagai bentuk pengganasan tradisional dan tidak sama dengan pengganas pasca moden.

Bagi memberi pemahaman bagaimana pengganas muncul saya suruti sedikit mengenai perebakkan Jemaah Islamiah yang hanya bertitik tolak daripada individu kemudia menjadi satu rangkaian antarabangsa. Sekitar tahun 1969, dua orang lelaki, Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar, memulakan operasi untuk pergerakan Daul Islam. Darul Islam telah hampir dimusnahkan yang berbalik pada 1950an selepas ahli tergolong kepada golongan itu memulakan sebuah pemberontakan dalam usaha untuk mewujudkan negeri Islam di Asia Tenggara.Bashir dan kawannya menciptakan kelengkapan radio cetak rompak untuk berkhutbah kepada yang miskin dan yang ditindas di Indonesia. Bashir mewujudkan sekolah asrama di Jawa. Moto sekolah ini adalah, "Kematian dalam cara Allah adalah cita-cita kita yang tertinggi." Bashir dan Sungkar keduanya telah dipenjarakan oleh diktator Indonesia kerajaan Suharto sebagai sebahagian dari tindakan keras pada kumpulan radikal seperti Komando Jihad, dimana kedua orang adalah ahli. Mereka menghabiskan masa beberapa tahun sekitar jangka masa itu. Bashir dan pengikut-pengikutnya melarikan diri ke Malaysia pada tahun 1982. Dia mula merekrut pengikut-pengikut dari Malaysia, Singapura, dan Filipina. Kumpulan itu secara rasmi menamakan diri mereka Jemaah Islamiyah sekitar waktu itu. Pada pertengahan dan akhir tahun 1980-an, ramai ahli JI, termasuk Sungkar dan Hambali menyertai golongan Mujahidin di Afghanistan bagi menentang pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan. Mereka disertai oleh kumpulan-kumpulan Muslim seluruh dunia. Maka jelas bahawa pengganas ini muncul daripada mereka yang tertindas dan tersisih. Ini kerana mereka ini akan mudah terpengaruh dengan apa yang cuba memperjuangkan nasib mereka.

Sebenarnya, pengganasan bukanlah sesuatu yang baik, ia akan menghancurkan keamanan dan kesejahteraan. Bukan memperbaiki sistem tetapi meruntuhkan sistem. Bagi melakukan polisi "counter terrorist", kerajaan atau pihak berkuasa tidak boleh mengunakan aspek kekerasan tetapi sebaliknya mengunakan aspek pembagunan ekonomi dan sosial. Jika kaedah untuk memerangi pengganas dengan mengunakan militan dan persenjataan, ia bukan sahaja memakan masa yang lama malah akan menyemai benih-benih pemberontakkan yang lebih banyak. Cuba lihat sahaja di Iraq, pengganasan dan pemberontakkan sentiasa berlaku walhal tentera bersekutu telah menawan negara itu untuk beberapa tahun. Ini kerana Amerika tidak melaksanakan pembangunan ke atas negara Iraq dan telah menyebabkan rakyatnya semakin daif dan hidup menderita. Tentangan ini walaupun kecil tetapi mendatangkan impak yang besar. Ia adalah serangan yang berbentuk "brush on fire". Teknik ini digunakan oleh British sewaktu menyerang PKM di Malaya semasa darurat. Teknik inilah yang juga yang digunakan oleh pejuang Iraq untuk menghalau keluar tentera Amerika daripada bumi Arab. Lebih-lebih lagi dengan kewujudan pengganas pasca moden. Negara-negara kaya seperti Amerika dan British perlu peka dengan keperluan mereka. Jangan terlampau mendominasi kumpulan yang tertindas kerana ia seolah-olah menyemai benih-benih pengganas. Keadaan ini bertambah teruk kerana wujudnya pengganas pasca moden.Pengganasa jenis ini amatlah mustahil untuk dihapuskan. Lihat sahaja bagaimana Al-Qaeda sehingga ke hari ini belum lagi dapat dikesan inikan pula untuk dihapuskan. Malah mereka ini juga mempunyai doktrin yang lebih kental sehingga sanggup mengorbankan nyawa. Ini kerana kebanyakkan mereka mengunakan motif agama dalam melancarkan serangan. Ia seolah-olah memberi satu super power kepada pejuang-pejuang ini. Dalam pada itu juga, pergerakkan mereka juga adalah sukar dikeasan sama sekali. Ini kerana, kumpulan ini bergerak didalam bentuk sel yang lebih kecil. Akan tetapi kebanyakkan mereka mempunyai rangkaian di seluruh dunia. Hal inilah yang menyukarkan lagi untuk membasmi pengganasan pasaca moden. Malah dasar counter terrorist yang dilancarkan oleh Bush selepas 9/11 pastinya tidak akan berjaya. Ini kerana teknik kekerasan tidak akan berjaya membawa kumpulan ini ke arah pendamaian apatah lagi untuk membawa mereka ke The Hague pasti akan sukar.

Amerika Tidak Diperlukan Lagi

Pencerobahan ke atas Iraq, Afghanistan, Iran (bakal dicerobohi) malah negara-negara lain sebenarnya telah juga menceroboh kedaulatan dan sempadan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Apa yang nyata kini, PBB sudah seolah-olah hilang taring dalam menyelesaikan segala konflik yang berlaku di arena antarabangsa.
PBB yang diilhamkan oleh Roosevelt semakin musnah akibat peranan keterlaluan Amerika dan sekutunya. Begitu ironi kerana PBB adalah hasil buah tangan Amerika dan kini Amerika sendiri yang menghancurkan badan utama dunia itu. Jika Roosevelt masih hidup, beliau juga sedih di atas kelumpuhan PBB. Akan tetapi inilah hakikat politik antarabangsa!.

Akibat kejatuhan atau juga boleh saya gunakan istilah "collapse" dalam mengambarkan situasi yang menimpa PBB. Maka, hal ini secara tidak langsung atau secara langsung telah menjadikan negara-negara berorganisasi secara region. Oleh itulah organisasi regionalisme pada hari ini tumbuh bagaikan kulat selepas hujan turun membasahi bumi. Namun, sebenarnya apabila negara-negara berorganisasi secara region maka ini telah menjadikan sesuatu yang tidak baik kepada dunia. Semakin banyak organisasi serantau muncul, semakin banyak konflik yang akan timbul. Hal ini tidak menyelesaikan konflik secara jangka panjang tetapi akan memburukkan lagi keadaan lebih-lebih lagi selepas Ganeral Agreement on Tariff and Trade (GATT) telah lumpuh selepas Uruguay Round dan sekarang ini pula WTO Doha Round yang telah gulung tikar. Apa yang pasti, perhubungan antara negara kini berinteraksi dalam sistem yang kecil.

Kegagalan badan-badan utama dunia seperti World Bank, World Trade Organisation, International Monetary Fund, dan United Nation sendiri yang gagal memberikan satu keadilan kepada seluruh penduduk dunia. Ini kerana, organisasi ini telah dikawal dan
dimanipulasi oleh negara yang banyak 'melaburkan' wang dalam organisasi tersebut. Malah sepatutnya kuasa veto yang ada pada 'six power talks' di dalam PBB sepatutnya dihapuskan jika PBB sendiri mahu memberikan keadilan yang sama-rata tanpa mengira negara kaya, negara membangun atau juga negara miskin. Walhal, negara miskin inilah yang sepatutnya diberi "super bantuan".

Pada tahun 1997 negara-negara di Asia Tenggara telag mengalami "the Great Dipression". Dan Dr. M telah bertindak bijak dengan menubuhkan Eest Asian Economy Group (EAEG). Namun,hasrat Dr. M untuk menubuhkan blok perdagangan Asia Tenggara telah dihalang oleh Amerika. Ini kerana, mereka merasakan terpinggir dan kepentingan ekonomi mereka di rantau Asia Tenggara telah digugat oleh Dr. Mahathir. Malah, Amerika juga menyedari jika EAEG berjaya ditubuhkan maka pasaran ekonomi di Asia Tenggara akan tertutup buat mereka, malah hal ini boleh juga menular ke seluruh Asia. Dengan itu, Amerika telah melancarkan propaganda secarabesar-besar. Akhirnya EAEG ditukar kepada East Asian Economy Concus (EAEC). Bagaimanapun, EAEC gagal, kerana peranan yang diberi oleh EAEC ini adalah sedikit dan kecil. Dr. M sekali
lagi bertindak mengugat Amerika melalui cadangan penubuhan ASEAN Plus 3 dengan Taiwan, China dan Jepun. Namun sekali lagi Amerika menghancurkan harapan Dr. M untuk melihat pertumbuhan yang lebih pantas dalam ekonomi negara rantau ini tanpa bantuan APEC yang dilihat mengambil kesempatan terhadap pasaran Asia Tenggara yang besar malah mempunyai tenaga buruh yang ramai dan murah. Amerika telah menjejaskan rancangan Dr. M dengan mengugut Jepun agar menarik diri dari ASEAN Plus 3. Apabila Jepun menyatakan hasrat tidak bersetuju dengan saranan Dr. M ini telah menyebabkan EAEC juga gagal. Namun sebenarnya, hasrat pemimpin Malaysia dan juga negara-negara rantau ini untuk melihat perkembangan ekonomi tanpa bantuan Amerika tetap berkorba-korba. AKhirnya East Asian Summit telah berjaya di tubuhkan pada 2006, dan mesyuarat yang pertama telah diadakan di Kuala Lumpur. Apatah lagi keanggotaan EAS juga melangkaui Asia Tenggara, negara seperti India, Australia, New Zealand juga ingin
menganggotai pertubuhan ini. Lebih-lebih lagi apabila Asian Pacific Economic Cooperation (APEC) telah gagal memainkan peranan dalam membawa keadaan ekonomi yang stabil di rantau Asia Pasifik. Yang pastinya Amerika tidak akan dijemput dalam organisasi ini. Ini kerana jika kita menjemput Amerika ke dalam EAS yang diharap menjadi seperti European Union akhirnya berkubur atau menjadi rangka mati seperti Africa Union dan SAARC.