Thursday, August 2, 2007

Perlukah Kekerasan Dalam Sebuah Sinema

Perlukah Kekerasan Dalam Sebuah Sinema?
Kekerasan adalah antara elemen dalam filem yang sering menimbulkan debat tentang keperluan dan eksploitasinya. Filem dan kekerasan (violence) sebenarnya mempunyai hubungan yang sungguh rapat dan istimewa. Sejak awal sejarah filem, kekerasan telah menjadi sebahagian imej dan subjeknya. Adegan akhir filem The Great Train Robbery (1903) arahan Edwin S. Porter, yang menunjukkan seorang penjahat mengacukan pistol kearah kamera telah memulakan hubungan filem dengan kekerasan.

Sebenarnya kekerasan telah menjadi sebahagian tema dalam penghasilan estetika. Ia telah menjadi sebahagian tindakan kreatif. Tidak mungkin elemen kekerasan dapat dinafikan kerana kekerasan adalah elemen yang membentuk materi ke dalam bentuknya. Kekerasan bersifat penyahmampatan (decompression), timbul dari ketegangan antara individu dengan dunianya. Ia meledak apabila ketegangan itu sampai ke puncaknya. Ia perlu berlaku sebelum ketenangan atau kedamaian mengambil tempat. Sebab itu setiap kerja seni akan mengandungi unsur kekerasan atau sekurang-kurangnya menuntut unsur tersebut jika karya seni itu mahu menenangkannya melalui konflik. Struktur plot dan perwatakan tidak akan menjadi satu aliran yang dinamik tanpa adanya elemen kekerasan.

Filem adalah karya seni yang paling sesuai dengan kekerasan, kerana kekerasan berlaku akibat tindakan manusia. Jika karya seni lainnya hanya mampu merangsang atau menggerakkan unsur kekerasan, filem sebaliknya melalui keupayaan kamera akan menangkap atau merakamkan momen aksi kekerasan itu berlaku secara natural. Bagi seorang pengarah, kekerasan adalah sebahagian unsur keindahan untuk menghasilkan mise-en scene. Seorang hero yang hebat atau gagah yang mewakili kesempurnaan seorang lelaki akan akhirnya perlu berdepan dengan konflik yang menuntut dirinya menggunakan kekerasan untuk mencapai matlamat keadilan. Ia adalah tindakan yang alamiah. Bayangkan filem Hang Jebat (Hussein Haniff) tanpa adegan pertikaman antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Adegan yang dikoreografi dengan begitu cantik oleh Mahmud June menjadi unsur terpenting dan karakter utama filem ini. Hussein Haniff menjadikan kekerasan sebagai karakternya yang utama dalam filem yang begitu dekat padanya iaitu Dua Pendekar. Adegan pertempuran dan tembakan dalam adegan akhir filem The Wild Bunch (Sam Peckimpah), dengan unsur gerak perlahan dan komposisi telah menjadikan filem tersebut klasik bagi sejarah filem barat. Begitu juga adegan yang begitu keras dan mual dalam filem The Deer Hunter (Michael Cimino) merupakan elemen yang ditonjolkan oleh filem ini.

Bagaimanapun kekerasan dan keganasan dalam filem mempunyai tahap dan lapisan-lapisan yang berbeza. Filem Orson Welles memberikan unsur kekerasan yang berbeza dengan filem arahan Elia Kazan. Seperti yang ditunjukkan dalam Citizen Kane, kekerasan atau keganasannya lebih jujur, malah bersifat autobiografikal. Manakala ekspresi kekerasan dalam filem-filem arahan Luis Bunuel bersifat idea. Nicholas Ray pula memberikan imej keganasan yang lebih menyeluruh, lebih sensual dan lebih semulajadi. Bagaimanapun, elemen kekerasan dalam filem-filemnya adalah berasaskan keperluan lebih dari sekadar untuk membunuh. Manakala unsur kekerasan dalam filem The Battleship Potemkin (S. Eisenstein) bukan sahaja menjadi elemen terpenting tetapi juga sumber kepada pembentukan konsep montajnya.

Usaha untuk memberikan definasi kekerasan juga agak sukar dan kompleks kerana ia melibatkan proses budaya. Mungkin sebahagian tindakan dan perlakuan ditakrifkan sebagai ganas dan keras oleh sesuatu bangsa tetapi, tidak oleh kaum yang lain berdasarkan budaya dan sosial. Kesan kekerasan adalah bersifat psikologikal, fizikal dan sosiologikal. Lebih sukar sebenarnya untuk mengkelaskan kekerasan dalam filem-filem arus perdana Hollywood. Filem klasik Hollywood memberikan naratif yang jelas yang memfokuskan kepada seorang protagonis, secara psikologi jelas dan terarah motivasinya, melalui konflik dan akhirnya membuat peleraian permasalahannya. Tetapi perkembangan filem kontemporari Hollywood 1990-an telah membawa dimensi baru erti dan bentuk kekerasan. Filem-filem arahan Oliver Stone, Quentin Tarantino dan John Woo telah meletakkan kekerasan dalam karakternya tersendiri. Hasilnya kekerasan telah mengheret kontroversi baru dan juga menuntut kajian tentang representasi kekerasan di filem dari pelbagai disiplin ilmu. Kekerasan dalam filem memerlukan pemahaman baru tentang hubungan dan keperluannya, aspek yang dahulunya lebih banyak ditumpukan kepada seksualiti.

Kekerasan atau keganasan dalam filem adalah dalam konteksnya, memberikan bentuk keindahannya yang tersendiri, sebagai iluminasi laluan si hero, manifestasi kekuasaan dan kehormatannya, malah satu bentuk cabaran. Bentuk kekerasan begini tidak membawa makna yang buruk tetapi ia adalah laluan kepada kemenangan yang bererti.

Kesan dari kekerasan peperangan, merangsang manusia untuk terus hidup, sebagai kesedaran pada pergelutan antara manusia dengan elemennya, antara manusia dengan manusia dan merangsang kemahuan untuk terus menang. Elemen ini semua menjadi sumber konflik dan adventure sesebuah filem dan juga untuk memastikan filem itu dalam tahap epik atau sekadar tragedi.

Jadi, adakah kekerasan atau keganasan menjadi elemen yang perlu dan penting dalam filem? Ia terletak kepada bagaimana elemen tersebut dimanfaatkan. Kerana selagi filem tentang manusia, elemen kekerasan tidak mungkin dapat dipisahkan.

No comments: