Thursday, August 2, 2007

Filem dan Sejarah:satu paradoks

Dapatkah filem menjadi saksi kepada sejarah? Mungkinkah sejarah dapat dirakamkan semula dalam filem atau watak-watak sejarah dimunculkan semula dalam filem?

Debat tentang sejauh mana filem dapat mewakili sejarah adalah debat yang sememangnya menarik perhatian dan telah membawa pelbagai hujahan yang membincangkan dua disiplin yang saling bersilang ini. Sejauhmana tepat dan benarnya apabila peristiwa atau tokoh sejarah difilemkan telah menjadi perbincangan hebat di kalangan teoris sejarah dan filem.

Apakah filem Bukit Kepong (1982) arahan Jins Shamsuddin dapat diterima sebagai fakta sejarah?

Begitu juga, apakah gambaran Hang Tuah lakonan P.Ramlee dalam filem Hang Tuah (1956) arahan Phani Majumdar dapat diterima sebagai gambaran yang benar? Jika begitu bagaimana dengan filem Hang Jebat (1961) arahan Hussein Haniff yang telah memberikan gambaran berbeza?

Para sarjana di bidang sains sosial telah sekian lama bersikap skeptikal terhadap filem (sinema). Sungguhpun filem alat yang berguna di bidang etnografi, tetapi sifat filem yang membenarkan fragmentasi kerana adanya suntingan menyebabkan ia lebih diasosiasikan dengan karya fiksyen. Bagi antropologis yang bersifat tegal dengan bidang mereka, hanya fakta dari tulisan dapat diterima secara saintifik. Tetapi apakah dengan skeptipisma ini menyebabkan filem atau dalam konteks ini filem sejarah perlu dipinggirkan dan ditolak begitu sahaja?

Sejak sekian lama mitos menemui kehidupannya dalam filem setelah ditolak ketepi oleh sejarawan. Malah hari ini peristiwa besar sejarah turut mengambil senario yang sama, dihidupkan semula dalam filem secara lebih besar dan kolossal. Sebagaimana banyak sejarawan, sarjana Peranchis Francois de la Bretheque turut berkongsi skeptikal, baginya hubungan antara fragmen filem dan realiti masa lalu tidak pernah bersifat langsung kerana sifat filem yang selalunya dikatakan menyelewengkan kebenaran. Mise en scene dalam filem lebih berminat dalam rupa produksi filem daripada mementingkan ketepatan sejarah. Lebih-lebih lagi filem sejarah jarang menghadkan kepada apa diketahui, tetapi akan cuba mengisi ruang-ruang kosong (ruang kelabu) atau lohong sesebuah sejarah dengan dialog-dialog yang tidak didokumentasikan, peristiwa yang diimaginasi dan keterangan yang tidak autentik.

Kata Bretheque lagi, filem akan mencipta adegan yang besar dan spektakular dan pada masa yang sama mencipta adegan dekat (close-up) dua atau tiga watak untuk memberikan kesan psikologi, dan cara ini telah menjadikan sejarah sebagai protagonis fiksyen. Mengapa ahli sejarah professional mempunyai sikap kritikal terhadap filem sebagai saksi sejarah dapat difaham.

Filem-filem komersial secara khususnya tidak dapat mengambarkan secara lebih bermakna ke atas sesuatu zaman sejarah itu kerana sifat filem komersial itu sendiri: eskapisme dan membenarkan penonton membuat tafsiran berdasarkan representasi yang dibayangkan.

Contohnya filem-filem muzikal dan komedi tentang era kemerosotan ekonomi, para sejarawan tidak dapat melihat hubungan bermakna antara representasi filemik dan konteks semasanya. Bagaimanakah filem Battleship of Potemkin (S. Eisenstein) dan Young Mr. Lincoln (John Ford) untuk dilihat hubungannya dengan sejarah sebenar sedangkan filem itu sudah dimanipulasi atas kepentingan dramatik dan ideologi.

Tetapi bukan semua sarjana sependapat. Sebahagian sejarawan Amerika dan Eropah tetap melihat adanya ruang dalam filem yang perlu dimanfaatkan jika kita faham bahawa filem sejarah adalah genre yang cukup fiskyenal dan cuba tidak melihat filem sebagai alat representasi sejarah secara total. Kata mereka walaupun filem bukanlah instrumen untuk mewakili zaman lalu tetapi ia secara pasif boleh menjadi saksi kepada zaman sejarah tersebut dihasilkan seperti mana dilakukan oleh medium produksi budaya yang lain. Sejarawan Peranchis Marc Ferro umpamanya telah melihat pendekatan positif terhadap filem.

Filem dengan `realiti novel’nya yang dianggap menyelewengkan fakta sejarah masa lalu perlu dilihat keperluannya dalam konteks masakini. Bagi Ferro semua persoalan sejarah yang diangkat oleh filem adalah bersifat fiksyenal yang dikuasai oleh estetika dan nilai dramatik, sedangkan sejarawan mementingkan kronologi secara tepat dan tokoh-tokoh sejarah yang berkaitan sahaja dan atas sebab itu sejarah tidak terikat dengan peraturan melodrama atau tragedi. Bagi Ferro, filem sejarah boleh menjadi sumber maklumat yang kaya tentang zaman ia dibuat atau dalam konteks semasa dokumentasi sejarahnya menjadi arkib yang penting. Filem tidak memasuki mental sejarawan atas sifat sejarah itu juga, sejarah selalunya dilihat dari sudut pihak yang berkuasa, sama ada dia seorang putera raja, pemerintah, kelas sosial dan sebuah bangsa. Dan atas sebab itu sejarah selalunya menjadi wacana politik. Disebabkan imej-imej dalam filem tidak bersifat langsung seperti bahasa, maka itu imej filem tidak menjadi instrumen pihak berkuasa.

Biarpun filem tidak membawakan `kebenaran’ sejarah, tetapi sejarah turut dirosakkan dalam teori pasca-moden yang akan melihat dan menganalisa sejarah daripada beberapa sudut yang berbeza. Sejarah selalunya bermasalah dan tidak lengkap yang menyebabkan ia sentiasa dikonstruksi dan ditambah.

Sejarah sebagai mewakili masa lalu kepunyaan semua orang tetapi bukan hak seseorang yang bersifat universal, aktiviti intelektual dan tidak bersifat keagamaan memerlukan wacana kritis dan analitikal. Dalam konteks ini sejarah masa lalu juga berbeza dengan memori yang merupakan fenomena emosi yang berasaskan ingatan dan boleh dimanipulasi untuk penyesuaian kerana ia bersifat fenomena masa kini.

Sebab itu membawa peristiwa sejarah ke filem adalah adaptasi yang sukar, sesukar mengadaptasi novel ke filem. Tetapi peristiwa sejarah adalah sumber utama dan penting bagi filem. Persoalan yang penting sejauh mana penonton dapat membezakan fiksyen dan fakta sejarah. Malah persoalan yang utama dalam mengangkat peristiwa sejarah ke filem adalah ketepatan pembinaan watak tokoh sejarah. Maksud tokoh sejarah adalah berbeza dengan maksud watak sebagai orang yang diimaginasikan dalam karya fiksyen. Napoleon, Gandhi, Patton dan malah Jesus telah dilakonkan wataknya dalam filem. Soalnya sejauhmana pelakon dapat meyakinkan dan menjadi stand-in dalam lakonannya yang bersifat semasa untuk peranan seseorang yang berlaku pada masa lalu?

Tetapi jangan biarkan kemelut permasalahan dan perbezaan tafsiran ini menjadikan kita negatif untuk membawakan peristiwa dan tokoh-tokoh penting sejarah tempatan ke filem. Shuhaimi Baba akan membawakan tokoh-tokoh penting kemerdekaan tanah air seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abd. Razak, Tan Cheng Lock dan ramai lagi dalam filemnya, 1957 yang akan merayakan 50 tahun kemerdekaan negara ini. Begitu juga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan turut memunculkan tokoh-tokoh penting ini dalam drama besarnya sebanyak 13 episod yang akan diadaptasi daripada novel besarnya Lepaskan Kembali Aku Ke Laut yang akan ditayangkan pada perayaan kemerdekaan nanti. Malah banyak lagi peristiwa sejarah yang boleh memperkayakan lagi filem kita, perlu diangkat dan diadaptasi ke filem.

Mungkin kronologi sejarah adalah berbeza dalam fragmen dramatik adaptasi sejarah tersebut ke filem dan watak-watak yang mewakili tokoh sejarah tersebut adalah stand-in kepada tokoh yang menjadi pelaku dalam zaman yang diangkat, tetapi filem dan drama ini harus dilihat sebagai sumber yang memperkayakan lagi koleksi kehidupan masyarakat negara ini.

No comments: