Thursday, August 2, 2007
Hedonisme, Kapitalisme, Neokolonialisme Menghantui Kita
BULAN lalu, ribuan orang menangis lagi. Semuanya gara-gara pertandingan akhir Akademi Fantasia musim kelima (AF5). Ada yang sedih apabila calon idola mereka tewas dan mungkin juga gembira bila pilihan mereka menang. Kadang-kadang kita dapat menyimpulkan terlalu mudah untuk menumpahkan air mata seseorang. Cukup dengan memutarkan sebuah filem, mendeklamasi sebuah sajak atau mendendangkan sebuah lagu. Kita tidak pernah tahu berapa ramai penonton menangis selepas menyaksikan persembahan realiti televisyen seperti AF sejak pertama kali diadakan lima tahun lalu. Menangis adalah bahasa yang terlalu sukar difahami. Orang akan menitiskan air mata untuk sebuah kegembiraan. Dan, orang juga menangis bagi menyatakan kesedihan atau kekecewaan. “Manusia sebenarnya dapat dikendalikan oleh keadaan-keadaan objektif di sekeliling yang akan mempengaruhi emosinya,” tulis pemikir Herbert Marcuse dalam bukunya One Dimensional Man. Memang pendapat beliau dalam buku itu terlihat pesimistik dan cenderung deterministik iaitu mengutarakan manusia sebagai makhluk sosial yang lemah. Namun, dalam konteks AF5 dan pelbagai program realiti televisyen di Malaysia, pendapat Marcuse mungkin benar. Kita adalah makhluk sosial yang mudah dipengaruhi dan dimanipulasi oleh media serta persekitaran. Masyarakat (majoriti orang Melayu) kita sebenarnya telah menjadi sebuah komoditi dalam hedonisme televisyen. Kita ghairah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengundi tanpa disedari kita merupakan objek komersial yang diperdagangkan untuk keuntungan. Dalam suatu analisisnya yang cukup menarik, Jurgen Habermas menyimpulkan tentang pembentukan identiti manusia dalam entiti global. Beliau melihat bahawa usaha-usaha manusia dalam membentuk jati dirinya sangat dipengaruhi oleh ideologi agama atau oleh Hans-Geog Gadamer dikatakan kesan daripada globalisasi. Habermas turut merumuskan krisis manusia global hari ini juga berkaitan dengan kapitalisme-neoliberalisme yang akan ‘menyeret’ mereka untuk mengadaptasi realiti yang berada di luar ke dalam diri mereka. Dengan kata lain, apa yang ada di dunia global dimasukkan dalam dunia tempatan dan sebaliknya akibat kewujudan dunia tanpa sempadan serta kecanggihan teknologi. Di Perancis, Jacques Derrida pula melihat konsep timbal balik tersebut dengan lebih terperinci iaitu indentiti yang berlawanan; Barat-Timur atau Islam-bukan Islam. Analisis ini kemudian dikembangkan lebih jauh oleh Gayatri Spivak. Dalam eseinya, Can the Subaltern Speak? (1988) beliau berpendapat bahawa kekuatan neoliberalisme yang menyebabkan bercambahnya rangkaian restoran McDonald atau wacana filem menjadi tertumpu di Hollywood. Dalam wacana globalisme, jika mengambil pendapat Habermas, ia memerlukan sikap kritis dalam melakukan transformasi dari satu nilai ke nilai yang lainnya. Pandangan itu kemudian dikembangkan lebih terperinci oleh pengkritik-pengkritik poskolonial dari berbagai belahan dunia yang lain. Di Jerman sendiri muncul beberapa nama pengkritik poskolonial mutakhir seperti Klaus Stierstorfer dan Laurenz Volkmann yang menekankan pentingnya keupayaan kritikan dalam kurikulum pendidikan multibudaya. AF dan semua program televisyen realiti yang menjadi pujaan masyarakat kita hari ini adalah sebahagian daripada neoliberalisme. Media yang menjadi medium antara kelompok kapitalisme dan masyarakat dimanipulasi untuk memperluaskan cengkaman mereka bagi meraih keuntungan atau neokolonialisme jika meminjam istilah Alvin Toffler dalam bukunya Powershift: Knowledge, Wealth and Violence at the Edge of the 21st Century (1990). AF pada berasal daripada sebuah program televisyen realiti di Mexico. Begitu juga Malaysian Idol yang diadaptasi daripada American Idol. Setiap generasi nampaknya mempunyai zaman dan produknya tersendiri. Hari ini banyak produk zaman seperti Gucci, Louis Vuitton, Armani, Prada, Dunhill, Zegna, Ferragamo, Tiffany & Co, Tuleh, Mulberry, Issey Miyake, Kate Spade, Escada, Cartier, Fendi, Chanel, Diesel, Chloe, Hermes, Coach, Polo dan Ralph Lauren. Program realiti televisen yang sering ‘menumpahkan air mata’ penonton-penonton kita hari ini juga merupakan sebahagian daripada produk zaman dan strategi yang dibawa oleh neoliberalisme-kapitalisme. Tetapi kerana kita tenggelam dalam hedonisme yang didedahkan dengan bermacam-macam keasyikan, makna sebenar di sebalik program-program tersebut diabaikan. Percaya atau tidak, segelintir daripada kita menghabiskan puluhan hingga ribuan ringgit semata-mata untuk mengundi calon pilihan mereka tanpa disedari kita sedang dimanipulasi oleh neoliberalisme. Agak aneh, hedonisme terhadap program televisyen realiti itu hanya ‘melanda’ masyarakat Melayu yang sanggup bergolok-bergadai untuk mengundi anak, saudara atau calon yang mereka pilih. Kaum lain? Mereka lebih senang mengumpul wang bagi tujuan pendidikan tinggi dan masa depan anak-anak mereka. Bukannya sanggup berhutang bagi memastikan anak mereka menjadi penyanyi. Adakah orang Melayu sedang menghadapi sebuah tragedi atau teperangkap dalam budaya konsumerisme yang diciptakan oleh kapitalisme-neoliberalisme?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment