Wednesday, February 21, 2007

perang vietnam sebuah sorotan sejarah

Sebuah Prolog
Perang Vietnam dilihat seperti kabut yang merbahaya, ia telah meresap masuk ke dalam jiwa rakyat Amerika. Vietnam secara langsung melibatkan pengalaman Amerika yang sebegitu besar dalam sejarahnya. Namun pada mulanya, bukan Amerika yang dilibatkan dalam perang ini, tetapi sebuah kuasa besar Eropah iaitu Perancis yang juga dianggap sebagai sebuah kuasa kolonial utama dunia sebelum dekad-dekad itu. Pada 2 September 1945, Ho Chi Minh telah secara umumnya mendeklarasikan kemerdekaan negara Vietnam. Beliau mengharapkan Amerika memberikan sokongan terhadap kewujudan kerajaan mereka walaupun pada masa yang sama mereka ditunjangi oleh ideologi komunisme. Ho Chi Minh menanam penuh harapan agar Presiden Roosevelt mengotakan janji beliau yang menentang kolonialisme Eropah dan mahukan negara dunia ketiga menentukan nasib mereka sendiri . Namun polisi Amerika ini telah bertukar angin apabila Presiden Truman mengambil alih pemenrintahan Roosevelt yang meninggal dunia, dan Truman membiarkan sahaja Perancis menduduki semula tanah jajahan mereka selepas Perang Dunia Kedua berakhir – termasuklah Vietnam. Maka hasrat Ho Chi Minh ini dikengkang oleh Perancis dan Amerika kerana menganggap nasionalis Vietnam itu sebagai manusia yang berideologikan komunisme. Maka tiada lain yang dilakukan oleh para pejuang Vietnam pada waktu itu, Perancis telah diserang bertubi-tubi oleh Viet Minh. Akhirnya perang yang berlansung selama sembilan tahun itu menyaksikan kuasa Eropah kalah di bumi Asia.
Pada 7 Mei 1954 Jeneral Giap Dien Bien Phu telah mengalahkan Perancis di lembah Dien Bien Phu. Ia adalah kekalahan paling teruk yang diterima oleh kuasa kolonial Perancis itu. Viet Nam Doc Lap Dong Minh Hoi atau Vietnam Independence League (Viet Minh) memenangi perang ini disertakan dengan bantuan yang diberikan oleh China. Peperangan yang melibatkan Perancis dan Viet Minh (secara langsung), China, Jepun, British dan Amerika (secara tidak langsung) dikenali sebagai Perang Indo-China. Akhirnya pada 21 Julai 1954, Geneva Accords – dikenali juga sebagai Geneva Conference – yang diperbincangkan oleh enam buah kuasa unilateral dunia dan juga Viet Minh sendiri telah mempersetujui bahawa Vietnam dibahagikan kepada dua:Vietnam Utara,komunisme dan Vietnam Selatan, liberalisme.

Era Diem (1955-1963)
Vietnam Selatan yang dikuasai oleh Maharaja Bao Dai telah digulingkan oleh Ngo Dinh Diem dan beliau telah menubuhkan Republik Vietnam. Kerajaan Vietnam Selatan itu kemudiannya diketuai oleh Ngo Dinh Diem serta didokong oleh Amerika enggan mengadakan pilihan raya bagi menyatukan semula Vietnam seperti mana yang dipersetujui oleh semasa Geneva Accords – pemisahan Vietnam ini adalah untuk sementara sahaja bagi menunggu keputusan pilihan raya yang akan diadakan pada tahun 1956 untuk memilih seorang ketua negara. Ini kerana mereka sudah merasakan aura Ho Chi Minh akan membawa kekalahan kepada mereka, hampir 80% rakyat vietnam memberikan sokongan kepadanya. Bagi menghalang pilihan raya ini, Diem menyatakan bahawa perjanjian Geneva Accords bukanlah hasil rundingan dengannya tetapi dengan bekas Maharaja Bao Dai, maka Geneva Accords tidak diperakui olehnya dan tidak salah jika kerajaan pimpinannya tidak mengikut perjanjian itu. Diem juga mempersoalkan kemampuan kerajaan Vietnam Utara dalam menguruskan pilihan raya seteleh Ho Chi Minh mengadakan satu kempen melancarkan serangan ke atas kumpulan anti-revolusioner dan pemilik-pemilik tanah .
Akibat daripada itu, pihak komunis Vietnam Utara nyata tidak berpuas hati dengan tindakan Diem ini, mereka merasakan bahawa perjanjian mereka telah dicabuli. Maka persiapan yang dilakukan oleh Viet Cong (VC) semenjak Geneva Accords lagi bagi menghadapi sebarang kemungkinan; telah menyelusup masuk ke Vietnam Selatan bagi menjatuhkan pemerintahan Diem. Bagi mematahkan serangan yang dilakukan oleh VC, Diem telah melakukan kempen mengencam pihak komunis dan juga anasir-anasir komunis. Ho Chi Minh akhirnya melancarkan insurgency terhadap pihak Vietnam Selatan. Pemberontak di Vietnam Selatan ini dikenali sebagai National Liberation Front (Barisan Pembebasan Kebangsaan)-dibiayai oleh VC .
Vietnam Utara banyak menerima bantuan daripada Soviet Union dan China. Namun Amerika gagal menghalang bantuan yang diberikan kepada Vietnam Utara dan National Liberation Front kerana senjata, makanan dan peralatan lain yang dihantar melalui Pelabuhan Haiphong, kemudian melalui jalan darat yang dikenali sebagai laluan Truong Son – tentera Amerika mengelarnya Ho Chi Minh Trail ). Namun laluan ini terletak di antara Kemboja dan Loas, maka ini telah menyukarkan Amerika untuk memutuskan bekalan kerana kawasan tersebut dikuasai oleh Kumpulan Pathet Lao yang dipengaruhi dan dibiayai oleh Vietnam Utara. Manakala Kemboja pula membenarkan Vietnam Utara mengunakan laluan tersebut untuk menghantar bekalan kepada kumpulan pemberontakkan di Vietnam Selatan. Hal ini telah menyukarkan Amerika untuk menyerang apatah lagi menakluki laluan itu.
Vietnam Utara telah melancarkan pmberontakkan secara terbuka menentang kerajaan Diem pada Disember 1960. Pemberontakkan ini dilancarkan oleh National Liberation Front(NLF) - dibiayai oleh Vietnam Utara yang pada masa mengusai sebahagian besar kawasan timur, ini telah memudahkan Vietnam Utara ini membekalkan senjata dan peralatan lain kepada NFL melalui laluan Truong Son .
Pada mulanya Diem dilihat mampu menangani pemberontakkan NFL ini dengan bantuan yang diberikan oleh ketenteraan Amerika. Malah Presiden Kennedy juga menambah lagi pegawai tinggi ketenteraan (Military Assistance Advisory Group) bagi memberi nasihat kepada Vietnam Selatan. Tindakan yang dilakukan oleh Presiden Kennedy ini dilihat sama seperti mana yang dilaksanakan oleh Tentera Bristish di Tanah Melayu semasa peristiwa Darurat. Presiden Kennedy telah menghantar 400 orang tentera Green Beret bagi memberi latihan kepada Tentera Vietnam Selatan. Bagaimanapun, Presiden Perancis, Charles de Gaulle merasakan tindakan Kennedy itu adalah silap, dan ia mengibaratkan seperti masuk ke dalam perangkap samar. Kata-kata de Gaulle kepada kennedy;
"I predict you will sink step by step into a bottomless quagmire, however much you spend in men and money".
Akhirnya pembuat dasar Amerika mula merasakan Diem tidak mampu mengawal perebakan pemberontakkan. Malah Amerika mulai bimbang jika Diem melakukan pakatan dengan Ho Chi Minh. Presiden Kennedy semakin kecewa dengan cara pentadbiran Diem yang semakin banyak melakukan penyalahgunaan kuasa. Diem telah melakukan korupsi, nepotisme, dan kemuncak kejatuhan kuasanya apabila beliau melakukan kekejaman ke atas kumpulan sami Buddha . Akibatnya tercetusnya peristiwa membakar diri hidup-hidup oleh Thiac Quang Duc dan ia mendapat liputan meluas media antarabangsa. Manakala Vietnam Utara pula mengambil kesempatan dengan menyebarkan propaganda dan telah membangkitkan kemarahan rakyat berfahaman Buddha. Hal ini telah menimbulkan kekacauan sosial yang serius di Vietnam pada waktu itu. Maka Amerika merasakan bantuan dan pelaburan yang dicurahkan kepada Diem adalah sesuatu yang sia-sia.

No comments: